Search
Close this search box.
Semua pemilik anjing di Sarawak digesa untuk mendapatkan vaksin bagi mengelakan wabak rabies yang boleh mengancam nyawa orang lain atau berdepan tindakan kompaun. Foto hiasan, Envato.

Sarawak catat peningkatan ketara kes rabies, 15 kematian setakat Sept

ByAmirah Shawel

KUCHING, 20 Sept: Sarawak mencatatkan peningkatan yang ketara untuk kes rabies dalam kalangan manusia sebanyak 17 kes, dengan 15 kematian daripada 1 Januari hingga 17 September lalu berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Ooi Choo Huck berkata daripada jumlah berkenaan Sibu mencatatkan kes tertinggi dengan lima kes, empat kes di Serian, tiga kes di Kuching, tiga kes di Bintulu dan dua kes di Samarahan.

“Terdapat peningkatan kes yang ketara berbanding hanya sepuluh 10 kes bagi tempoh sama pada tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak tujuh kes atau 70 peratus.

“Kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak yang dilaporkan semenjak wabak diisytiharkan pada Julai 2017 sehingga kini adalah sebanyak 72 kes dengan 65 kematian,” katanya menerusi satu kenyataan.

Berdasarkan penilaian terhadap empat kes kematian bagi bulan Ogos dan September, dua kes mempunyai sejarah digigit anjing peliharaan dan satu kes mempunyai sejarah dicakar kucing peliharaan.

Manakala satu kes adalah daripada jangkitan semasa mengendalikan bangkai anjing peliharaan.

Menurutnya, keempat-empat kes tersebut tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti sejurus selepas digigit, dicakar atau mengendalikan bangkai haiwan.

Justeru, beliau menggesa untuk mendapatkan rawatan dengan segera.

“Orang ramai juga dinasihati agar tidak mengendalikan bangkai haiwan yang tidak diketahui status jangkitan termasuk haiwan peliharaan dan perlu melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk pengendalian bangkai berkenaan,” katanya.

Sementara itu, katanya Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak telah menubuhkan 64 buah Klinik Pasca Gigitan di fasiliti kesihatan awam dan 29 buah di fasiliti swasta di seluruh negeri.

Dr Ooi berkata perkhidmatan suntikan rabies immunoglobulin (RIG) turut disediakan di 11 buah hospital untuk rawatan kes-kes berisiko tinggi.

Dalam pada itu, JKN Sarawak juga telah mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi temasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak dalam usaha mengukuh Kerjasama bagi menangani penularan rabies di Sarawak.

“Tindakan yang telah diambil oleh JKN Sarawak antaranya terlibat dalam penganjuran program vaksinasi rabies bagi anjing (mass vaccination) di lokasi yang dikesan positif rabies dalam kalangan haiwan dan juga meningkatkan kesedaran awam berkenaan rabies,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan