Search
Close this search box.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri menerima cenderamata daripada Ketua Jabatan Sumber Manusia UTS, Jimmy De Rozario @ Abdul Rahman selepas Sesi Townhall mengenai Jenayah Siber di UTS, Sibu hari ini. Foto: TVS

Sarawak catat 1,306 kes penipuan, kerugian RM49.3 juta sejak Jan-Julai 2023

SIBU, 5 Sept: Sarawak mencatatkan sebanyak 1,306 kes penipuan dengan kerugian berjumlah RM49.3 juta sejak Januari hingga Julai lalu serta menyaksikan peningkatan sebanyak 145 kes atau 12.49 peratus pada tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) merekodkan 1,161 kes penipuan melibatkan kerugian berjumlah RM24.7 juta pada tahun lepas dalam tempoh yang sama.

Menurut beliau peningkatan pada tahun ini berbanding tahun lepas serta kerugian yang ditanggung daripada kes tersebut pula menunjukkan peningkatan sebanyak RM24.6 juta atau 99.56 peratus.

“Kes-kes jenayah komersil dalam talian melibatkan mangsa paling ramai di negeri Sarawak serta kerugian akibat jenayah tersebut adalah seperti berikut, yang pertama kes e-dagang kita menerima laporan 350 kes dengan kerugian RM2.8 juta.

“Kes kedua, tawaran pekerjaan dengan 186 kes dan melibatkan kerugian RM6.1 juta dan ketiga pinjaman tidak wujud dengan 175 kes dengan kerugian RM1.2 juta.

“Kes keempat pula ‘phone scam’, 147 kes dengan kerugian RM10.1 juta dan kes kelima pelaburan 113 kes dengan kerugian RM15.1 juta,” katanya ketika berucap pada Sesi Townhall mengenai Jenayah Siber di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu pada Selasa.

Tambahnya, usaha berterusan JSJK untuk membendung jenayah komersil di negeri ini, telah menghasilkan sejumlah 345 tangkapan untuk tahun ini dan seramai 553 termasuk kes tahun lalu telah didakwa di mahkamah melibatkan 538 kertas siasatan dan sejumlah 750 pertuduhan.

Dalam pada itu, beliau turut bimbang terhadap peningkatan kes-kes jenayah siber dalam kalangan masyarakat yang merangkumi penipuan atas talian, penggodaman, kecurian identiti dan serangan siber.

Kekurangan kesedaran dalam kalanganmasyarakat dan pendedahan terhadap modus operandi jenayah komersil yang berlaku, Azman mengakui mangsa mudah panik dan cemas juga antara faktor berlakunya jenayah itu.

“Pendidikan kesedaran berterusan, pemantauan keselamatan siber yang ketat dan kerjasama antara pihak berkuasa dan masyarakat perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa. Saya berharap kesedaran ini dapat menangkap penjenayah siber yang selama ini mengaut keuntungan secara haram,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan jenayah siber yang semakin berleluasa ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang Ming Tee, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata dan Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan