Search
Close this search box.
Seorang petugas Jabatan Penerangan Bahagian Mukah Syahrulizan Madian contohnya, mengambil inisiatif menghiasi halaman rumah keluarga Sulong @ Ismawi Basri di Kampung Tutus Ulu dengan kibaran bendera. Foto JaPen Mukah.

Hari Kebangsaan: Mukah ceria dengan kibaran bendera

MUKAH, 29 Ogos: Seluruh ceruk rantau di Bahagian Mukah ini kelihatan lebih ceria daripada hari biasa, sejak Kempen Kibar Jalur Gemilang Bahagian Mukah 2023 dimulakan Jumaat lepas, sempena sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2023 di bahagian itu yang dirancang bermula esok.

Selain kawasan-kawasan strategik di bawah seliaan Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM), Jalur Gemilang dan juga bendera Sarawak kelihatan berkibaran megah di premis-premis kerajaan, swasta dan juga rumah-rumah kampung di sekitar sini.

Ramai penduduk kampung di sini yang mengambil inisiatif, gigih menyumbang tenaga dan wang ringgit untuk menghiasi persekitaran kawasan masing-masing dengan pelbagai cara dan kreativiti, khusus bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme cintakan negara.

Seorang petugas Jabatan Penerangan Bahagian Mukah Syahrulizan Madian contohnya, mengambil inisiatif menghiasi halaman rumah keluarga Sulong @ Ismawi Basri di Kampung Tutus Ulu dengan kibaran bendera, bukan hanya Jalur Gemilang dan bendera negeri Sarawak, tetapi juga bendera negeri-negeri lain.

Keluarga itu turut membina pintu gerbang daripada botol-botol plastik terpakai dan dihiasi dengan logo Malaysia Madani dan juga peta Malaysia.

Turut dipamerkan adalah Jata Malaysia serta Sarawak, dan di satu bahagian luar rumah turut dilekatkan gambar semua Perdana Menteri Malaysia, daripada yang pertama sehinggalah Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Keluarga Sulong @ Ismawi telah berusaha dengan penuh semangat memeriahkan Kempen Kibaran Jalur Gemilang. Semoga semangat ini jadi ikutan masyarakat sebagai tanda cintakan negara yang hebat ini,” katanya kepada Bernama.

Seramai 1,500 peserta dijangka terlibat dalam acara utama sambutan perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2023 yang bermula pada 11 pagi di Dewan Serbaguna Politeknik Mukah pada 31 Ogos ini.

Sebelum itu, acara ‘Unity Ride and Walk’ akan bermula seawal pukul 7 pagi di Dataran Pehin Setia Raja.

Segmen pertama sambutan dimulakan dengan program malam ambang merdeka di Dataran Pehin Setia Raja esok dan segmen terakhir pada 31 Ogos merupakan sesi townhall dan Sepetang Unity Talk di Dewan Sri Balau, UiTM Sarawak Kampus Mukah. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan