Search
Close this search box.
Salah satu arca buaya tanah yang masih terdapat di Bukit Buduk Nur, Ba'Kelalan. Foto TVS.

Hanya pemburu kepala ‘layak’ hasilkan arca buaya tanah di Ba’ Kelalan

ByAdlina Rahman

Ikuti dua artikel yang membongkar kewujudan buaya tanah di Sarawak. Bahagian satu memperincikan kisah buaya tanah di Ba’ Kelalan dan penulisan kedua menyingkap kisah sama di Serian oleh wartawan TVS, Adlina Rahman.

KUCHING, 29 Ogos: Ba’Kelalan yang merupakan daerah tanah tinggi di pedalaman Sarawak sememangnya terkenal sebagai lokasi pelancongan kerana keindahan panoramanya.

Jumlah penduduk di sini merupakan antara yang paling sedikit di Sarawak iaitu di bawah 5,000 orang yang majoritinya merupakan kaum Lun Bawang.

Kawasan bukit di Buduk Nur, Ba’kelalan.

Antara aktiviti pertanian penduduk di sini ialah menanam epal selain menghasilkan beras adan.

Suku Lun Bawang di sini sebenarnya memiliki adat, warisan serta sejarah unik yang berbeza dengan daerah lain di Sarawak.

Mengapa wujud buaya tanah di Ba’Kelalan?

Salah satu keunikan di sini ialah kewujudan arca buaya tanah.

Suatu ketika dahulu, buaya tanah ini dijadikan simbol penyembahan bagi upacara keagamaan penduduk tempatan.

Menurut seorang penduduk, Musa Sigar, arca buaya tanah dipercayai telah wujud sejak ratusan tahun dahulu.

Berdasarkan cerita turun temurun, tidak semua orang ‘layak’ membuat arca berkenaan.

“Mereka yang membuat arca buaya tanah ini merupakan seorang jaguh kerana telah merayau yang bermaksud keluar memburu kepala.

Musa Sigar berkongsi cerita mengenai buaya tanah kepada TVS di Ba’Kelalan.

“Kalau ada kepala yang dapat, mereka akan pulang dan buat arca buaya tanah.

“Setelah itu para jaguh ini akan berkumpul beramai – ramai dan bermain di sekeliling buaya tanah bagi menunjukkan kekuatan yang dimiliki,” jelas Musa.

Kawasan penemuan arca buaya tanah di Buduk Nur, Ba’Kelalan yang telah dipagar oleh penduduk tempatan.Foto TVS.

Musa menambah, arca yang dihasilkan biasanya bentuk haiwan yang boleh dijumpai dengan pelbagai saiz.

“Penemuan arca terbesar ialah kira – kira sepanjang 10 kaki,” katanya.

Buaya tanah atas bukit

Menurut Kading Sultan atau digelar Bayu, arca buaya tanah banyak ditemui di kawasan bukit.

Katanya, ini kerana pada zaman dahulu, kebanyakan masyarakat Lun Bawang memilih untuk mendirikan rumah di kawasan tanah tinggi bagi menjaga keselamatan daripada musuh.

Kading Sultan @ Bayu.

Namun kata Bayu, kebanyakan arca di kawasan tanah tinggi itu sudah rosak dan hilang bentuk akibat faktor semula jadi dan vandalisme.

“Sebelum kami percaya Tuhan, memang ada (adat menyembah buaya tanah) tetapi budaya ini telah hilang terutamanya dalam kalangan generasi muda. Kini, majoriti penduduk sudah tidak mengamalkan kepercayaan itu.

“Penduduk meninggalkan amalan sembahan buaya tanah kerana berpendapat ia tidak bagus untuk kami percaya,” jelasnya.

Memulihara budaya unik yang hampir terhakis

Menyedari pentingnya menjaga warisan yang hampir hilang itu, Perikatan Orang Asal Tanah Tinggi Borneo (FORMADAT) mengambil langkah memelihara dan memulihara arca tersebut.

Timbalan Pengerusi FORMADAT Sarawak, Councilor John Tarawe berkata, perkara itu dilakukan bagi memastikan tinggalan bersejarah itu tidak hilang ditelan zaman.

Timbalan Pengerusi FORMADAT, Councilor John Tarawe.

“Kami mencuba yang terbaik untuk mengekalkan arca itu. Perkara pertama yang dilakukan ialah mengenal pasti dan menetapkan koordinasinya.

“Kami juga membuat sedikit penulisan mengenainya dan menghubungi muzium supaya mereka dapat mengesyorkan langkah yang terbaik untuk memuliharanya,” katanya.

Melalui usaha itu, John yakin buaya tanah boleh menjadi tarikan baharu bagi pengunjung terutama yang berminat untuk mengetahui sejarah serta budaya kaum Lun Bawang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan