Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Hasbi sempat memberi kata semangat kepada ahli keluarga warga emas Sahari Mail, yang hilang dikhuatiri dibaham buaya di Kampung Ulak. Foto: TVS.

Perhilitan, agensi lain perlu duduk semeja tangani populasi buaya di Limbang – Hasbi

LIMBANG, 26 Ogos: Peningkatan populasi buaya di Sungai Limbang meresahkan penduduk yang kebanyakannya mencari rezeki di sungai berkenaan, kata Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah.

Justeru itu, menurut Hasbi, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan agensi kerajaan yang berkaitan harus mencari titik penyelesaian menangani konflik antara manusia dan buaya di sini agar populasi reptilia itu di sungai Limbang berjaya dikurangkan.

Amukan buaya buat penduduk Kampung Ulak tidur tidak lena

Hasbi berkata ketika ini kaedah pengurangan populasi buaya di sungai Limbang harus dilaksanakan berikutan sang bedal di sini didapati semakin mengancam keselamatan penduduk yang mendiami pesisir sungai berkenaan.

“Saya yakin Jabatan Perhilitan dan agensi berkenaan tahu bagaimana caranya mencari satu titik penyelesaian, pengurangan populasi dan sebagainya.

“Jadi ini semua diambil kiralah kerana ancaman buaya sudah menjadi keresahan kepada penduduk,” katanya.

Hasbi yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat lokasi warga emas, Sahari Mail yang hilang dikhuatiri dibaham buaya di Kampung Ulak, pada Jumaat.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Parum Niot dan Timbalannya, DSP Liong Tindan dan Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan.

Hasbi menambah satu mesyuarat bersama Jabatan Perhilitan dan agensi kerajaan berkaitan akan diadakan bersama Residen Limbang untuk mencari penyelesaian menangani konflik antara manusia dan buaya.

“Saya difahamkan satu mesyuarat antara Residen Limbang, bersama Jabatan Perhilitan dan agensi terlibat akan diadakan untuk menangani konflik antara buaya dengan manusia.

“Kita tahu sungai Limbang ni juga mata pencarian penduduk kita, tangkap udang, tangkap ikan dan sebagainya,” katanya lagi.

Beliau turut menasihati penduduk Limbang terutama yang mendiami pesisir sungai agar lebih berhati-hati dan meningkatkan keselamatan mereka ketika berada di sungai.

Katanya serangan buaya terhadap manusia di Sarawak bukan lagi insiden baharu bagi penduduk tempatan di Limbang dengan empat insiden amukan buaya di daerah ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan