Search
Close this search box.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini. Foto: TVS.

Sindiket proses, edar heroin tumpas

GEORGE TOWN, 15 Ogos: Satu sindiket memproses dan mengedar dadah jenis heroin tumpas selepas polis menyerbu dua buah rumah di kawasan Seberang Perai dekat sini semalam.

Pada operasi serentak kira-kira pukul 4.30 petang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang itu, tiga lelaki berusia 25 hingga 37 tahun turut ditahan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, serbuan membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat di Simpang Ampat yang dijadikan tempat memproses dadah dan sebuah rumah di Bukit Mertajam.

“Salah seorang suspek ditahan di sebuah sebuah rumah yang disewa dengan bayaran RM1,500 untuk dijadikan makmal dadah secara haram.

“Dua lagi suspek ditahan di sebuah rumah keluarga mereka,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

Ujarnya, pada operasi berkenaan, dadah jenis heroin dan mushroom bernilai kira-kira RM200,000 turut dirampas bersama alat memproses dadah dan bahan kimia.

“Sebanyak 30 bungkusan dadah jenis heroin seberat 13.5 kilogram (kg) bernilai RM184,800 disita bersama 230 batang rokok dan dadah jenis mushroom seberat 244 gram bernilai RM13,800.

“Turut dirampas adalah serbuk kafein dengan anggaran berat 4.23 kg bernilai RM1,400,” katanya sambil menjelaskan dadah berkenaan boleh digunakan oleh 67,730 penagih.

Tambah beliau, siasatan mendapati sindiket tersebut telah bergiat aktif sejak tiga bulan lalu untuk pasaran tempatan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua tangkapan negatif dadah dan dua daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Katanya, enam buah kenderaan turut disita bersama barang kemas yang keseluruhannya bernilai RM690,680. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan