Search
Close this search box.
Seorang wanita meninggal dunia ketika hendak mengundi Gemencheh, di sini pagi tadi. Foto Bernama.

Warga emas meninggal dunia selepas celup jari dalam botol dakwat kekal sebelum mengundi

SEREMBAN, 12 Ogos: Seorang wanita meninggal dunia ketika hendak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Rokan, Gemencheh, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Anuwal Ab Wahab berkata warga emas berumur 83 tahun itu dikatakan tiba-tiba terjatuh dan tidak sedarkan diri sejurus selepas dia mencelup jari ke dalam botol dakwat sebelum mengundi, dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu.

Beliau berkata wanita itu kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Gemencheh oleh ahli keluarganya, dan sebaik tiba di klinik berkenaan, warga emas berkenaan dikatakan telah sedar, namun paras oksigennya didapati semakin menurun.

“Bantuan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) telah dilakukan oleh pembantu pegawai perubatan ke atas wanita itu, namun dia tidak berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya difahamkan wanita itu pernah mengadu kepada keluarganya bahawa dia mengalami sakit pada bahagian kaki sejak balik mengerjakan umrah baru-baru ini, dan rekod perubatan mendapati warga emas itu adalah pesakit darah tinggi.

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan