Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama tetamu kehormat lain memotong kek di Majlis Interaksi dan Kesyukuran atas Pemasyhuran Tan Sri Dr Wan Junaidi sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara. Foto: Faitullah Morni (TVS)

Pindaan perlembagaan sumbangan besar Wan Junaidi kepada Sarawak – Abang Johari

KUCHING, 9 Ogos: Kejayaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan sebahagian hak Sarawak yang terhakis ketika memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) merupakan antara sumbangan paling signifikan Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Wan Junaidi kini Yang di-Pertua Dewan Negara, berjaya mendapatkan kelulusan Parlimen untuk meminda Perkara 160 Perlembagaan bagi memasukkan Perjanjian Malaysia (MA63), Laporan Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Apabila Wan Junaidi memasukkannya (MA63, laporan Cobbold dan IGC) dan pindaan Perlembagaan itu diterima lebih daripada dua pertiga Ahli Parlimen untuk menjadi undang-undang, jadi hak-hak Sarawak dilindungi oleh Perlembagaan,” katanya.

Berucap pada Majlis Interaksi dan Kesyukuran atas Pemasyhuran Wan Junaidi sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara di sini malam tadi, beliau berkata, pindaan tersebut menjelaskan lagi kedudukan Sarawak dalam Malaysia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Ia turut melibatkan pelaksanaan dasar pendidikan, keahlian dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri dan peruntukan kewangan khas tahunan untuk Sabah dan Sarawak.

Abang Johari berkata, pelantikan Wan Junaidi untuk menerajui Dewan Negara pada 19 Jun lepas adalah atas permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan seseorang yang berkecuali untuk jawatan itu.

“Sebenarnya kami membantu Datuk Seri Anwar (kerana) kita dalam Sarawak berkehendakkan kestabilan. Kalau negara Malaysia ini aman, kerajaan yang stabil, tahap keyakinan tinggi, orang akan melabur ke Malaysia,” katanya.

Wan Junaidi yang berucap sebelum itu berkata pemilihan beliau sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara merupakan satu penghormatan yang diberikan Kerajaan Pusat kepada Sarawak.

Katanya, setelah mengambil keputusan untuk bersara daripada politik dan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lepas, beliau tidak terfikir langsung akan diminta menyandang jawatan itu.

“Saya tolong bantu sedikit (sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara) dengan harapan kestabilan Kerajaan Pusat akan mendapat pulangan ekonomi dan kebaikan kepada Sarawak,” tambahnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan