Search
Close this search box.
Perdagangan borong dan runcit Malaysia merekodkan nilai jualan bulanan sebanyak RM138.5 bilion, naik 4.3 peratus dari tahun ke tahun pada Jun 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM). Gambar hiasan: Envato.

Perdagangan borong dan runcit naik 4.3 peratus kepada RM138.5 bilion – DoSM

ByBernama

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Perdagangan borong dan runcit Malaysia merekodkan nilai jualan bulanan sebanyak RM138.5 bilion, naik 4.3 peratus dari tahun ke tahun pada Jun 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan 4.3 peratus bagi perdagangan borong dan runcit pada Jun 2023 disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit, yang berkembang 5.8 peratus atau RM3.2 bilion kepada RM59.4 bilion.

“Perdagangan borong juga menokok dengan mencatatkan 3.1 peratus atau RM1.9 bilion kepada RM62.4 bilion, diikuti kenderaan bermotor dengan kenaikan 3.4 peratus atau RM0.6 bilion kepada RM16.7 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi perbandingan secara bulanan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 0.3 peratus atau RM0.5 bilion.

Mohd Uzir ketika mengulas mengenai prestasi merentas subsektor berkata pertumbuhan perdagangan runcit 5.8 peratus untuk bulan itu disokong oleh jualan runcit di kedai bukan khusus, yang meneruskan aliran menaiknya bagi mencatatkan 10.9 peratus atau RM2.2 bilion kepada RM22.8 bilion.

Sementara itu, pertambahan sebanyak 3.1 peratus dalam perdagangan borong adalah disebabkan oleh pemborongan makanan, minuman dan tembakau, yang melonjak RM0.9 bilion atau 7.8 peratus kepada RM12.2 bilion.

Mohd Uzir berkata pertumbuhan 3.4 peratus untuk subsektor kenderaan bermotor pada bulan itu didorong oleh jualan alat ganti serta aksesori kenderaan bermotor dan penyelenggaraan termasuk pembaikan kenderaan bermotor masing-masing sebanyak 18.3 peratus dan 20.0 peratus.

Bagaimanapun, jualan kenderaan bermotor merosot 3.8 peratus.

“Daripada segi indeks volum, perdagangan borong dan runcit untuk Jun 2023 mencatatkan pertumbuhan dari tahun ke tahun sebanyak 3.1 peratus — pengembangan itu disumbangkan oleh semua subsektor iaitu perdagangan borong (4.5 peratus), kenderaan bermotor (3.1 peratus) dan perdagangan runcit (2.6 peratus),” katanya.

Beliau menambah bahawa indeks volum pelarasan musim merosot 2.2 peratus dari bulan ke bulan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan