Search
Close this search box.
Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, dalam Gagasan 100 Tahun Malaysia Merdeka (#G100MM), beliau utamakan identiti negara dan bangsa dengan memberikan perhatian kepada beberapa perkara perlu diusahakan dalam hal pembinaan masyarakat, memberi masyarakat peluang menambah baik dan memperkasa diri mengikut acuan. Foto: Mohammed Raffiq (TVS)

‘Gagasan 100 tahun Malaysia Merdeka’ perlu dilaksana bagi capai peradaban – Shamrahayu

ByBernama

KUALA LUMPUR, 30 Julai: Malaysia memerlukan suatu gagasan dan pelan pelaksanaan jelas dinamakan ‘Gagasan 100 Tahun Malaysia Merdeka’ dalam mencapai peradaban Melayu dengan matlamat meraikan kepelbagaian dan mengeratkan perpaduan.

Pakar Perlembagaan Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz yang mencadangkan gagasan berkenaan berkata ia harus dilaksanakan bagi menangani cabaran masa kini serta masa depan.

“Gagasan ini perlu diusahakan kerana 100 tahun adalah satu penanda aras kepada kedudukan bangsa, tercapai atau tidak tercapainya sebuah peradaban.

“Dalam Gagasan 100 Tahun Malaysia Merdeka (#G100MM), saya utamakan identiti negara dan bangsa dengan memberikan perhatian kepada beberapa perkara perlu diusahakan dalam hal pembinaan masyarakat, memberi masyarakat peluang menambah baik dan memperkasa diri mengikut acuan,” katanya dalam ucaptama pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-13 Lembaga Peradaban Melayu (ADAB) di sini hari ini.

Beliau yang juga Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata antara perkara perlu diusahakan menerusi gagasan berkenaan adalah mengutamakan pengajaran dan pendidikan sejarah bangsa dan agama di pelbagai peringkat pendidikan.

“Usaha ini bukan mengukuhkan kefahaman kepada sejarah bangsa dan agama Islam sahaja, bahkan kita perlu menjadikan cara hidup bangsa dan agama sebagai budaya hidup bernegara.

“Di samping itu, kita juga perlu mengajak mereka yang menganut agama lain untuk kembali kepada pendidikan agama yang bersesuaian dengan agama pilihan mereka tanpa menggugat kedudukan agama Islam sebagai agama bagi negara,” katanya.

Selain itu, Shamrahayu berkata pendidikan atau seni keibubapaan bagi membentuk individu dan keluarga yang mementingkan agama dalam kehidupan seharian hendaklah menjadi agenda negara.

Beliau berkata menerusi gagasan itu lagi perlu memperkukuh dan melaksana dasar-dasar kerajaan berkaitan kekeluargaan seperti Dasar Keluarga Negara yang menyokong Dasar Sosial Negara, Dasar Wanita Negara, Dasar Kanak-Kanak Negara dan Dasar Belia Negara.

“Pelan tindakan masing-masing hendaklah disemarakkan dengan lebih berkesan lagi. Bukan pendidik dan kerajaan tidak pernah memikirkan untuk memperkasa keluarga tetapi mungkin gelombang cabaran adalah lebih hebat daripada gelombang pembaikan dan pemulihan sistem kekeluargaan kita,” katanya.

Dalam aspek perundangan pula, Shamrahayu berkata penggubalan undang-undang hendaklah seiring dengan nilai yang dibentuk oleh agama kerana antara sumber utama undang-undang ialah adat dan agama.

“Justeru, tidak seharusnya para penggubal undang-undang, atas dasar kemodenan atau kepentingan politik mengabaikan atau melupakan terus asas agama mereka ketika terlibat dalam menggubal undang-undang,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan