Search
Close this search box.
PKR akan bertanding di 13 kerusi DUN pada PRN yang berlangsung 12 Ogos ini. Foto TVS

PKR tidak calonkan semula Menteri, Timbalan Ketua Menteri pada PRN Pulau Pinang

ByTVS

GEORGE TOWN, 23 Julai: Beberapa nama besar di Pulau Pinang tidak disenaraikan semula sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15).

Antara yang digugurkan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman pula yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pinang Tunggal juga tidak dipilih bertanding kali ini.

Sementara itu, ADUN Penanti yang juga Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin serta Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Datuk Halim Hussain (ADUN Batu Maung) juga tidak dipilih oleh PKR untuk mempertahankan kerusi masing – masing.

Turut tidak disenaraikan semula, Timbalan Yang Dipertua DUN, Datuk Dr Amar Pritpal Abdullah, penyandang kerusi DUN Telok Ayer Tawar, Datuk Mustafa Kamal Ahmad dan penyandang kerusi Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee.

Kerusi-kerusi berkenaan digantikan dengan calon-calon muka baharu seperti yang diumunkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Shah Alam, Selangor malam tadi.

Norlela yang telah mewakili Penanti selama dua penggal berkata, beliau menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

“Saya tidak kecewa bahkan berterima kasih kepada pimpinan kerana pernah memberi peluang untuk berkhidmat kepada kampung halaman sendiri.

“Telah banyak pembangunan yang dilaksanakan di Penanti,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Hanya lima muka lama yang dikekalkan iaitu Mohd Tuah Ismail di DUN Pulau Betong, Lee Khai Loon (Machang Bubok), Gooi Hsiao Leung (Bukit Tengah), Goh Choon Aik (Bukit Tambun) dan A. Kumaresan (Batu Uban).

PKR menampilkan lapan muka baharu bagi menghadapi PRN15 iaitu Zainuddin Mohd di DUN Pinang Tunggal, Mohsin Md Sharif (Telok Ayer Tawar) dan Johari Kassim (Seberang Jaya).

Turut disenaraikan ialah Rohsidi Hussin bagi DUN Penanti, Norhidayah Che Ros (Sungai Bakap), Lee Boon Heung (Kebun Bunga), Fahmi Zainol (Pantai Jerejak) dan Prof Dr Mohd Abdul Hamid (Batu Maung).

Secara keseluruhannya, PKR akan bertanding di 13 daripada 40 kerusi DUN di negeri ini.

Pada PRU14, parti itu menang di 12 kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN15 yang membabitkan Pulau Pinang dan lima negeri lain pada 12 Ogos depan.

Hari penamaan calon adalah pada 29 Julai dan pengundian awal ditetapkan pada 8 Ogos. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan