Search
Close this search box.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan meninggal dunia malam ini di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah. Foto TVS.

Salahuddin Ayub meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah

ByFirdaus Ismail

KUCHING, 23 Julai: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan meninggal dunia malam ini di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),Alor Setar, Kedah.

Perkara itu disahkan oleh anak perempuannya, Fatihah Salahuddin menerusi catatan di Facebook sebentar tadi.

“Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub telah menghadap Ilahi pada 9.23 malam, 23 Julai,” tulisnya.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memaklumkan, jenazah sedang diuruskan dan akan dibawa pulang ke rumah ibunya di Kampung Serkat, Tanjung Pia, Johor.

Awal malam ini tersebar khabar angin mengenai kematian Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara itu namun dinafikan beberapa pihak termasuk Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Pada Jumaat lepas, Ahli Parlimen Pulai itu dikejarkan ke HSB selepas mengadu mual dan mengalami muntah.

Salahuddin kemudian disahkan mengalami pendarahan otak dan menjalani pembedahan di hospital berkenaan serta dilaporkan dalam keadaan stabil.

Karier politik Salahuddin bermula pada 1999 apabila menjadi calon Pas bagi Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 dengan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Benut, Johor.  

Allahyarham terpilih sebagai Ahli Parlimen buat kali pertama apabila menang kerusi Parlimen Kubang Kerian pada PRU 2004 menerusi tiket Pas dan mempertahankannya pada PRU 2008.

Pada 2013, Salahuddin berpindah bertanding di Parlimen Pulai, Johor namun tewas kepada Datuk Nur Jazlan Mohamed dari UMNO.

Percubaan beliau untuk menjadi wakil rakyat kerusi berkenaan berjaya apabila menang pada PRU 2018 dengan menewaskan Nur Jazlan.

Seterusnya beliau dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Pada PRU tahun lepas, Salahuddin mempertahankan kerusi parlimen berkenaan dengan majoriti 33,174 undi.

Allahyarham mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 Disember tahun lepas.

Salahuddin meninggalkan seorang balu, Datin Seri Fatimah Taha, dan enam anak. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan