Search
Close this search box.
Amalan pengambilan suplemen tanpa nasihat doktor perubatan tidak boleh dipandang ringan kerana pengambilan suplemen yang berlebihan boleh mendedahkan seseorang kepada risiko kerosakan buah pinggang. Foto hiasan: Envato.

Kebergantungan masyarakat pada suplemen meningkat pasca-COVID

ByBernama

KUALA LUMPUR, 21 Julai: Ingin sentiasa kelihatan cantik dan tampil kurus membuatkan Aisha Amaya Ihsan, 42, mencuba pelbagai jenis suplemen atau makanan tambahan, terutama yang didakwa berkesan oleh pengguna lain.

Mengakui dirinya “kaki suplemen”, wanita itu percaya pengambilan suplemen terbabit sangat penting dalam memastikan dirinya kekal menarik serta sihat, lebih-lebih lagi pada usia dia sekarang, selain masih bujang.

“Saya bukan ambil suplemen ‘timbang kati’. Semuanya berdaftar dengan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan FDA (Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat),” katanya kepada Bernama.

Dia yang mula mengambil suplemen pada usia 30 tahun, berkata pada peringkat awal, dia hanya mengambil vitamin C, namun keadaan itu berubah sejak dua tahun lepas apabila turut memakan pelbagai suplemen lain disebabkan oleh faktor umur, tekanan kerja dan ketidakseimbangan hormon.

Selain untuk jaga kulit wajah, ada juga suplemen bagi mudah tidur, menyeimbangkan hormon, mengurangkan tekanan dan menghilangkan kelesuan tubuh, katanya sambil menunjukkan beberapa jenis makanan tambahan yang diambilnya kepada Bernama.

Menurut pekerja swasta itu, dia menghabiskan kira-kira RM700 setahun untuk membeli makanan tambahan terbabit, dan tidak kisah membayar harga yang tinggi untuk satu-satu produk asalkan “khasiatnya terbukti”.

“Saya (beli) tidak rujuk doktor tetapi berdasarkan pembacaan di Internet, sama ada daripada testimoni dan juga saranan doktor di Internet. Bagi saya, itu sudah cukup dan tidak perlu jumpa doktor kerana ini hanya makanan tambahan.

“Saya akui memang sangat bergantung pada makanan tambahan. Kalau tidak ambil, saya rasa tidak bermaya, kurang fokus, susah hendak tidur. Lagipun bila umur 40-an ini badan kita dah kehilangan beberapa mineral, dan pengambilan suplemen ini untuk ‘top-up’ mana yang patut,” katanya.

 

KEBERGANTUNGAN SUPLEMEN

Kes Aisha Amaya bukanlah unik kerana dewasa ini semakin ramai dalam masyarakat yang sanggup berhabis beribu-ribu ringgit membeli pelbagai jenis suplemen demi mendapatkan wajah dan tubuh, yang bagi mereka, lebih cantik dan sihat.

Apatah lagi produk sedemikian amat mudah didapati, khususnya di platform pasaran dalam talian dan media sosial, selain kemudahan ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ atau BNPL yang ditawarkan oleh pengendali pasaran dalam talian.

Rata-rata pengguna juga berbuat demikian tanpa mendapatkan nasihat doktor ataupun mengetahui keadaan sebenar dalaman tubuh masing-masing, atas alasan produk berkenaan sudah mendapat kelulusan pihak berwajib, justeru tidak membahayakan kesihatan mereka.

Benarkah begitu?

Mengulas tentang hal itu, pensyarah kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata tidak semua orang harus mengambil suplemen kerana keadaan tersebut bergantung pada keperluan tubuh seseorang.

“Semua ini kerana mereka terpengaruh, sedangkan tidak perlupun ambil suplemen. Disebabkan oleh kelemahan (ingin kekalkan kesihatan serta kelihatan lebih cantik) ini, ramai (peniaga) yang ambil kesempatan memanipulasi situasi dengan memperkenalkan pelbagai produk makanan kesihatan.

“Masyarakat pun mudah terpedaya apabila penjual menggunakan pelbagai cara termasuklah bekerjasama dengan figura terkenal, sama ada artis ataupun pakar motivasi, untuk meyakinkan orang ramai bahawa produk mereka selamat dan berkesan sehingga mereka (boleh) untung berjuta-juta,” katanya.

Menurut beliau, peningkatan pengambilan suplemen dalam kalangan ahli masyarakat turut mewujudkan keadaan masyarakat terlalu bergantung pada makanan tambahan atau “kebergantungan suplemen”.

Mereka yakin amat penting bagi mereka mengambil pelbagai jenis vitamin untuk meningkatkan imun badan selain produk-produk lain yang dikatakan bagus untuk kesihatan dan kecantikan, ujar beliau.

Menurut Dr Shazli Ezzat lagi, fenomena itu bertambah meluas selepas pandemik COVID-19 kerana semakin ramai ahli masyarakat yang mula mengambil serius akan penjagaan kesihatan diri dan keluarga.

Berdasarkan laporan Vodus Market Research, sebuah firma penyelidikan dan analisis data pasaran dalam talian, kira-kira 71 peratus penduduk di negara ini mengambil suplemen pada 2021.

Nilai pasaran suplemen negara juga menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh 2014 hingga 2019, iaitu daripada RM2.07 bilion kepada RM3.1 bilion. Angka itu dijangka terus meningkat pada masa akan datang.

“Sebenarnya, ini berbalik kepada tahap keyakinan diri seseorang itu. Kalau kita mempunyai keyakinan diri yang tinggi, segala yang diiklankan tersebut, tidak kiralah produk berdaftar atau tidak, seseorang akan dapat mengawal diri untuk tidak membelinya.

“(Lebih-lebih lagi) tidak semestinya apa yang ditawarkan itu berkesan. Tahap kesihatan seseorang adalah berbeza dengan (pemberi) testimoni, dan kitapun tidak tahu sama ada bahan tersebut sesuai dengan kesihatan diri biarpun produk berdaftar, kerana mungkin bahannya boleh membahayakan seseorang itu yang (mungkin) ada penyakit lain, dan kerana itu penting rujuk doktor,” tambah  Dr Shazli Ezzat.

 

KEROSAKAN BUAH PINGGANG 

Pakar Perunding Nefrologi dan Perubatan Dalaman Prof Madya Dr Nor Fadhlina Zakaria, ketika diminta mengulas tentang amalan pengambilan suplemen tanpa nasihat doktor perubatan, berkata perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana pengambilan suplemen yang berlebihan boleh mendedahkan seseorang kepada risiko kerosakan buah pinggang.

“Keadaan ini berlaku apabila pengguna yang tubuhnya sudah cukup vitamin dan mineral, mengambil suplemen untuk vitamin dan mineral yang sama, sekali gus membebankan buah pinggang dan berpotensi merosakkan organ itu dalam jangka panjang,” katanya yang juga Timbalan Pengarah Klinikal, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Semakin teruk buah pinggang itu bekerja, semakin tinggi risiko untuk mendapat masalah buah pinggang dan mengakibatkan keupayaan badan menyingkirkan vitamin dan mineral menjadi terhad apabila fungsi ini merosot.

“Ini akan memburukkan lagi keadaan kerana lebihan zat vitamin dan mineral yang terkumpul di dalam badan boleh menjadi racun dan berinteraksi dengan ubatan lain yang diambil untuk penyakit lain. Atas sebab itulah orang yang sihat tidak perlu ambil suplemen kerana tiada bukti kebaikan, malah berisiko mendapat penyakit buah pinggang,” tambah beliau.

Menurut Dr Nor Fadhlina Zakaria yang juga pensyarah kanan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM, suplemen hanya boleh diberikan kepada pesakit atas arahan doktor.

Justeru, tindakan kebanyakan pengguna hari ini yang mendapatkan suplemen tanpa nasihat doktor agak membimbangkan, ujar beliau.

Vitamin dan mineral merupakan bahan yang diperlukan oleh badan dalam kuantiti sedikit bagi menjalankan fungsi asas badan seperti mengekalkan ketahanan tubuh, membantu membaiki tisu atau membantu badan menggunakan tenaga yang diperoleh daripada makanan.

“Zat ini boleh didapati daripada makanan dan amalan cara hidup sihat tanpa pengambilan suplemen, kecuali golongan yang memerlukannya dengan nasihat doktor kerana keperluan zat ini berbeza setiap individu dan fungsi buah pinggang juga bergantung pada seseorang itu,” katanya.

Pegawai dietitik Jazeera Julalili pula berkata lazimnya, suplemen diperlukan oleh warga emas, ibu mengandung serta kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan zat.

“Mereka ini lazimnya perlu mengambil makanan tambahan atas beberapa faktor termasuk imuniti badan melemah. Justeru, orang yang tidak ada masalah kesihatan tidak perlu ambil makanan tambahan,” katanya yang bertugas di Klinik Kesihatan Putatan, Sabah.

Tambah beliau, pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan juga sudah memadai bagi individu sihat meraih khasiat makanan tambahan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan