Search
Close this search box.
Pengarah Eksekutif Produksi Seni Duapuluh Duapuluh Sdn Bhd Datin Dr Wendy Wong (kiri) dan Datuk Datuk Nancie Foo (kanan). Foto: Aziz Soleh (TVS)

Filem ‘Sumpahan Jerunei’ diyakini pecah panggung, sasar kutip RM30 juta

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 21 Julai: Filem tempatan Sarawak, ‘Sumpahan Jerunei’ yang mula ditayangkan di pawagam Malaysia dan Brunei bermula 27 Julai ini serta di Kemboja pada 11 September diyakini pecah panggung dengan kutipan RM30 juta.

Penerbit filem Datuk Nancie Foo dan Datin Wendy Wong optimis sasaran itu mampu dicapai susulan menyaksikan respon positif daripada penonton semasa tayangan perdana filem berkenaan di Golden Screen Cinemas, The Spring Shopping Mall pada Khamis.

“Setelah menjalankan kajian, mendapatkan dana dari Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), akhirnya filem ini berjaya dikeluarkan.

“Sumpahan Jerunei pada asalnya dijadualkan untuk tayangan pada tahun 2020, namun ditunda akibat penularan pandemik COVID-19,” kata mereka kepada pemberita di Hotel Imperial di sini, hari ini.

Dua rakan kongsi itu menambah perancangan awal syarikat Produksi Seni 2020 adalah ingin menerbitkan dokumentari yang mengisahkan sejarah kaum Melanau di Sarawak merangkumi adat budaya dan ritual kaum Melanau pada abad ke-16, iaitu Jerunei.

Dalam usaha mencapai hasil terbaik bagi filem mereka, Nancy dan Wendy mendedahkan kerja keras mereka diiringi pengorbanan turun padang ke Kampung Tellian, Mukah dari Kuala Lumpur telah melahirkan naskah seram itu setelah dua tahun melakukan kajian tentang budaya dan sejarah Jerunei.

Wendy dalam pada itu berkata kerjasama dengan Majlis Adat Istiadat Sarawak, Muzium Sarawak, Persatuan Melanau Kuching, dan Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya Malaysia Negeri Sarawak turut membawa kejayaan buat produksi.

“Sebelum mendapat kebenaran dari Majlis Adat Istiadat Sarawak untuk melakukan kajian di Mukah tentang Jerunei, kami melalui pelbagai proses…Ini berkaitan dengan keberadaan keturunan yang masih ada.

“Kami juga telah berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Sarawak Tribune dan Suara Sarawak, Profesor Datuk Dr. Jeniri Amir. Beliau banyak memberi penerangan dan memberi nasihat tentang sejarah Jerunei,” jelasnya.

Beliau mengakui bukan proses yang mudah untuk menterjemahkan kisah sejarah, adat dan budaya kaum Melanau di Sarawak ke layar filem.

“Proses menyiapkan skrip selama setahun…Kami terpaksa merombak skrip filem sebanyak 12 kali bersama pengarah.

“Ketika pertama kali menghasilkan skrip, saya dan Nancie merasa ketakutan seolah-olah ada yang mengikuti dan memerhatikan kami. Namun, situasinya berubah setelah kami memutuskan untuk mengangkat naskhah ini ke layar filem,” ujarnya.

Tambah Wendy lagi, ‘Sumpahan Jerunei’ bukan hanya cerita seram fiksyen, tetapi juga membawa cerita dan mesej tentang adat istiadat serta budaya unik kaum Melanau yang ingin disampaikan kepada penonton, serta bagaimana budaya tersebut difilemkan.

“Selain itu, filem ini juga memaparkan budaya, pakaian, dan makanan orang Melanau yang sarat dengan unsur budaya. Dari segi mesejnya, ia mengingatkan kita untuk tidak mengganggu apa yang bukan milik kita,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Nancie mendedahkan filem berkenaan menjalani penggambaran selama 45 hari di lokasi penggambaran yang diadakan di sekitar Mukah, Kuching dan Siburan.

Demi memastikan hasil akhir filem berkualiti, Nancie mendedahkan keseluruhan pelaburan menelan kos berjumlah RM5 juta.

“Kos pembikinan filem ini sangat tinggi karena melibatkan banyak elemen efek khas, VFX, dan teknologi Imej Janaan Komputer (CGI) semasa filem penggambaran menggunakan skrin biru.

“Kami perlu mengeluarkan lebih daripada RM100,000 untuk membawa peralatan teknikal dan reka bentuk besar dari Kuala Lumpur ke lokasi penggambaran di Kuching.

“Selain itu, filem ini melibatkan lebih daripada 100 orang tenaga kerja termasuk barisan pelakon, kru, dan pelakon tambahan dari penduduk tempatan yang fasih berbahasa Melanau,” jelasnya.

 

 

Berkongsi lanjut, Nancie berkata masyarakat Melanau sinonim dengan sejarah Jerunei, terutama di Kampung Tellian, Mukah.

“Jerunei merupakan tempat persemadian golongan bangsawan pada masa lalu, namun amalan ini sudah tidak lagi diamalkan dalam zaman moden.

“Jerunei dibuat daripada kayu belian besar yang tahan cuaca, dan dipercayai dapat bertahan hingga ratusan tahun. Bahagian tiang jerunei memiliki lubang-lubang untuk menempatkan mayat atau tulang mayat, serta barang berharga milik si mati semasa hidupnya.

“Lubang di bahagian atas dianggap untuk hamba atau orang yang dipilih oleh si mati semasa hidupnya.

“Ukiran-ukiran bermotifkan binatang seperti harimau, naga, dan lain-lain sering menghiasi bahagian luar tiang jerunei, dan motif ini bergantung kepada kedudukan atau darjat pemilik,” dedahnya.

Beliau mengakui ramai tidak mengetahui ritual mengenai Jerunei terutamanya dalam kalangan masyarakat Sarawak sendiri justeru itu filem ini membawa para penonton untuk merungkai kisah sebalik kayu berlian berkenaan.

Sumpahan Jerunei arahan Jason Chong menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Bront Palarae, Uqasha Senrose, Amerul Affendi, Syafie Naswip, Daiyan Trisha, Tony Eusoff, Ruminah Sidek, Yuyun Hikmah, dan banyak lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan