Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat tiba ke Anugerah Sukan Negara 2022 di sini hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Turut hadir pada majlis itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim. Anugerah Sukan Negara 2022 merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada atlet-atlet, jurulatih dan pegawai yang mencipta kebanggaan seluruh Malaysia di pentas antarabangsa pada setiap tahun. Foto: Bernama

ASN: Aaron-Wooi Yik tepati ramalan, Joe Ee diangkat sebagai olahragawati kebangsaan

ByBernama

PETALING JAYA, 17 Julai: Juara bertahan beregu lelaki dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2022 yang berlangsung malam ini.

Kejayaan Aaron-Wooi Yik yang mencipta sejarah dengan muncul sebagai gandingan badminton pertama negara yang meraih gelaran Juara Dunia di Tokyo, Ogos lepas, melayakkan mereka diangkat sebagai Olahragawan Kebangsaan pada majlis gilang gemilang yang diadakan di sebuah hotel, di sini.

Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan anugerah sukan berprestij itu kepada gandingan beregu yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020. Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Aaron-Wooi Yik menamatkan penantian 45 tahun Malaysia untuk menjadi juara dunia apabila berjaya menewaskan beregu veteran dan juara dunia tiga kali, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 21-19, 21-14 di pentas Kejohanan Badminton Dunia edisi ke-27 di Tokyo, 28 Ogos lepas.

Pasangan nombor empat dunia itu berjaya mengetepikan saingan terdekat iaitu jaguh bina badan negara dan juara dunia lima kali, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah atau lebih dikenali “Mike” selain dua badang negara yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022, Mohammad Aznil Bidin dan Mohamad Aniq Kasdan serta Juara Kejohanan Snuker Amatur Dunia Lim Kok Leong.

Pencapaian cemerlang dilakar Aaron-Wooi Yik hari ini, menyaksikan mereka mengulangi kejayaan bekas pemenang emas Sukan Asia 2006, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menjadi beregu lelaki negara terakhir merangkul gelaran Olahragawan Kebangsaan pada 2007.

Atlet gimrama Ng Joe Ee, yang menuai dua emas menerusi disiplin bola dan riben pada Sukan Komanwel 2022 melayakkannya diangkat sebagai Olahragawati Kebangsaan sekali gus mengatasi ratu terjun Datuk Pandelela Rinong dan rakan sepasukan Nur Dhabitah Sabri selain Nur Ain Syuhada Mohd Asri (petanque) serta Nur Amisha Azrilrizal (muay thai).

Sementara itu, jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou dipilih sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan susulan kejayaan menggondol gelaran ketujuh pada Kejohanan Badminton Para Dunia dalam kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal).

Beliau mengetepikan saingan dua atlet powerlifting Jong Yee Khie dan Bonnie Bunyau Gustin, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin (berbasikal lebuh raya) serta Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (renang).

Juara 100 meter (m) kuak dada wanita SB8 (kecacatan fizikal) Sukan Para ASEAN 2022, Carmen Lim pula dinobatkan sebagai Olahragawati Para Kebangsaan menewaskan seorang lagi perenang, Brenda Anellia Larry serta Nani Shahiera Zawawi daripada sukan olahraga.

Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, masing-masing menerima sebuah piala, piala iringan, sijil dan wang tunai RM20,000.

Dalam pada itu, skuad hoki lelaki kebangsaan diumumkan sebagai Pasukan Lelaki Kebangsaan selepas memahat sejarah muncul Juara Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama pada edisi tahun lepas, manakala pemenang emas beregu wanita Sukan Komanwel 2022 dan Juara Terbuka Perancis 2022, Pearly Tan-M. Thinaah diumumkan sebagai Pasukan Wanita Kebangsaan.

Bagi kategori Jurulatih Lelaki Kebangsaan, ia dimenangi jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, A. Arul Selvaraj, manakala jurulatih skuad ping pong wanita negara  Beh Lee Wei menerima anugerah Jurulatih Wanita Kebangsaan selepas berjaya membimbing pasukan negara merangkul perak dalam acara berpasukan Sukan Komanwel 2022.

ASN 2022 turut mengiktiraf sumbangan Datuk Wira Mazlan Ahmad dalam dunia sukan negara dengan menganugerahkan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu sebagai Tokoh Sukan.

Peranan besar pasangan Desmond David dan Ann-Marie David dalam membentuk keperibadian dan semangat waja anak mereka, Datuk Nicol David sehingga menguasai pentas skuasy wanita dunia turut dihargai ASN 2022 apabila diberikan Anugerah Khas bersama tiga lagi penerima lain termasuk Jaguh Larian Menara, Soh Wai Ching.

Majlis anugerah itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli Abd Halim serta Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Anugerah berprestij yang mula diperkenalkan sejak 1966 itu ialah pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan.

 

Berikut ialah senarai penuh penerima pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2022:

 

Olahragawan Kebangsaan – Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton)

Olahragawati Kebangsaan – Ng Joe Ee (gimnastik berirama)

Olahragawan Paralimpik Kebangsaan – Cheah Liek Hou (badminton para)

Olahragawati Paralimpik Kebangsaan – Carmen Lim (renang para)

Pasukan Lelaki Kebangsaan – Pasukan Hoki Lelaki

Pasukan Wanita Kebangsaan – Pearly Tan-M.Thinaah (badminton)

Jurulatih Lelaki Kebangsaan – A. Arul Selvaraj (hoki)

Jurulatih Wanita Kebangsaan – Beh Lee Wei (ping pong)

Anugerah Tokoh Sukan – Datuk Wira Mazlan Ahmad

Anugerah Kepimpinan Sukan – Prof Datuk Dr Abdullah Mohammad Said

Anugerah Khas – Desmond David, Ann Marie David, Datuk Fauzi Omar, Ahmad Merican Othman dan Soh Wai Ching

– TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan