Search
Close this search box.
Datuk Seri Tiong King Sing dan Dato Sri Wong Soon Koh pada majlis menandatangai MoU antara PDP dan PSB di Kuala Lumpur, semalam.

Bukan langkah mengejutkan, Abdul Karim ulas kerjasama antara PDP dan PSB

KUCHING, 14 Julai: Bukan langkah mengejutkan. Itu ulasan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah susulan termeterainya kerjasama Parti Demoktraktik Progresif (PDP) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Secara peribadi beliau berpendapat tidak ada masalah jika kerjasama itu memberi manfaat kepada rakyat.

Bagaimanapun dari segi pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS), beliau menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan kepimpinan tertinggi majlis presiden GPS.

“Kita tunggu apa kata majlis tertinggi GPS, begitu juga Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kepimpinan utama GPS dalam satu kenyataan rasmi kelak terutama dari segi pendirian GPS,” katanya ketika ditemui pada satu majlis di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, ramai yang tertanya adakah akan ada penggabungan antara PDP dan PSB.

Persoalan ini timbul susulan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing dan Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh di Kuala Lumpur semalam.

“Sudah pasti ada yang bertanya adakah peristiwa besar akan terjadi, bagi saya kita (lakukan) langkah demi langkah.

“Kita bekerjasama agar ahli-ahli PDP dan PSB saling memahami dan menyediakan platform kepada akar umbi untuk bekerjasama,” katanya berucap pada majlis berkenaan.

PDP merupakan antara parti yang membentuk GPS bersama PBB, PRS dan SUPP.

PSB pula merupakan parti pembangkang di Sarawak.

Tiong berkata lagi:

“Apa yang kami lakukan adalah demi rakyat, demi negeri (Sarawak) sebab itu kita menjalinkan kerjasama dan berharap pada masa hadapan memiliki kesefahaman yang lebih baik.”

Sementara itu Bernama melaporkan, PSB yang hanya memenangi tiga kerusi pada Pilihan Raya Negeri 2021, mengumumkan sokongan mereka kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh berkata pilihan mereka untuk menyokong kepimpinan semasa Kerajaan Persekutuan dan Sarawak adalah bagi memastikan kestabilan dan perpaduan negara.

“Pada masa ini di dalam negara kita ada dua kuasa politik yang bertentangan antara satu sama lain, satu dengan kesederhanaan mencari kata sepakat dan bertolak ansur sementara satu pihak lagi menggunakan perkauman, ekstremisme dalam agama, selain pecah dan perintah.

“Untuk kestabilan dan perpaduan negara, pilihan buat kami adalah jelas,” katanya menerusi kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata Anwar harus diberikan sokongan sepenuhnya bagi membolehkan pentadbiran baharunya melaksanakan matlamat Malaysia MADANI untuk membasmi rasuah dan ketidakcekapan serta memperbetulkan apa yang salah di masa lampau dan menyingkirkan faktor perpecahan dalam kalangan rakyat.

“Kami tahu Kerajaan GPS telah memberikan sokongan sepenuhnya kepada Kerajaan Perpaduan. Maka kami PSB di peringkat negeri berikrar memberikan sokongan sepenuhnya kepada Premier kami (Abang Johari) dalam semangat perpaduan bagi membolehkan beliau meneruskan inisiatif  Sarawak diutamakan,” katanya.

Kenyataan Wong dikeluarkan berikutan keputusan PSB untuk menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Parti Demokratik Progresif (PDP), sebuah parti komponen GPS yang beliau tandatangani bersama Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing, di Kuala Lumpur, semalam. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan