Search
Close this search box.
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama Nik Nazmi Nik Ahmad dan Datuk Len Talif Salleh pada sesi kunjungan hormat di Kuching, hari ini. Foto: TVS

RM300 juta diperlukan bagi kajian dan pemetaan geologi dan mineral di Sarawak – Awang Tengah

KUCHING, 10 Julai: Kerajaan Sarawak bercadang memulakan kajian dan pemetaan geologi dan mineral meliputi kawasan kira-kira 31,474 kilometer per segi (3.1474 juta hektar) bagi mengenal pasti keberadaan sumber mineral termasuk perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata sehubungan itu, Kerajaan Sarawak amat berharap Kerajaan Persekutuan dapat membantu membiayainya yang kosnya dianggarkan RM300 juta.

“Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, Sarawak juga dalam proses mentranformasi sektor perlombongan ke arah rantaian nilai dan ekosistem industri yang mampan dan berinovasi dengan penggunaan sumber mineral yang optimum menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika menerima kunjungan hormat daripada delegasi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia (NRECC) yang diketuai menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad dan timbalannya, Dato Sri Huang Tiong Sii di sini, hari ini. Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata lagi, kementeriannya juga sedang merangka memorandum persefahaman (MoU) mengenai pembangunan mineral di Sarawak dengan NRECC.

Ia merangkumi kajian dan pemetaan sumber mineral, program latihan, perkongsian  maklumat dan harta akademik dan memperkasakan kemampuan dalam pembangunan sumber mineral yang mampan.

Mengenai eksport bahan mineral dan bahan batuan, Kerajaan Sarawak bersama NRECC dan 16 agensi Kerajaan Sarawak dan Persekutuan telah memeterai persefahaman penggunaan arahan dan prosedur kerja yang berkaitan pada 24 Julai 2018.

“Arahan dan prosedur kerja ini bertujuan untuk mengkoordinasikan permohonan eksport bahan mineral dan bahan batuan keluar dari Sarawak,” ujarnya.

Mengenai perhutanan, beliau menegaskan Kerajaan Sarawak sentiasa komited mengurus khazanah hutan secara lestari dan menjadikannya habitat semula jadi flora dan fauna yang juga sangat penting dalam menyumbang ke arah kestabilan iklim dunia.

Menerusi dasar sedia ada, Sarawak masih mampu mengekalkan 62 peratus (7.65 juta hektar) kawasan litupan hutan di Sarawak.

“Sarawak merupakan penyumbang terbesar kawasan litupan hutan di Malaysia iaitu sebanyak 42.4 peratus daripada 18.05 juta hektar kawasan berhutan di Malaysia,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan