Search
Close this search box.
Seorang jurutera kerugian RM11,530 ditipu scammer setelah membuat pembelian untuk tiga keping tiket konsert penyanyi Taylor Swift. Foto hiasan: Ticketmaster

Konsert Taylor Swift entah ke mana, lebih RM11,000 melayang

ByNurul Amarlina

KUCHING, 10 Julai: Seorang jurutera kerugian RM11,530 ditipu scammer setelah membuat pembelian untuk tiga keping tiket konsert penyanyi Taylor Swift di laman media Carousell pada 6 Julai lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa yang merupakan seorang lelaki berumur 50-an telah membuat pembayaran di sebuah bank di sini menerusi tiga transaksi kepada akaun bank yang telah diberikan suspek.

“Semasa berada di rumahnya, mangsa telah melihat iklan penjualan tiket Taylor Swift di Carousell. Mangsa kemudiannya membuat transaksi dari 6 hingga 7 Julai. Mangsa sedar dirinya telah ditipu apabila suspek tidak dapat dihubungi setelah transaksi pembayaran dilakukan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Datuk Mohd Azman juga mendedahkan tiga lagi kes penipuan atas talian yang berlaku di Kuching dan Miri.

Dalam kes kedua, seorang wanita lewat 30-an di Miri telah ditipu atas satu tawaran kerja sambilan atas talian yang tidak wujud.

Katanya, mangsa yang merupakan seorang eksekutif di sebuah syarikat minyak di bandaraya itu telah menerima mesej melalui aplikasi Whatsapp mengenai iklan tawaran kerja sambilan dari satu nombor telefon yang tidak dikenali.

“Mangsa berhubung dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai Pengurus Sumber Manusia, Farhana Arwaa Abaasa dari Syarikat Aevus Studio Sdn Bhd dan menawarkan kerja atas talian yang mempunyai pulangan yang lumayan,” katanya.

Jelasnya lagi, pada mulanya mangsa hanya perlu melakukan tugasan dengan menekan butang “like” dan “subscribe” untuk menerima komisen RM20 bagi setiap “like” yang diberikan.

Beliau berkata, mangsa kemudian berurusan dengan penama Penny Penny O’Case yang kononnya merupakan penyambut tetamu syarikat tersebut untuk sebarang urusan transaksi pembayaran.

Katanya, mangsa telah melakukan satu tugasan iaitu “merchant currency data task”, di mana mangsa perlu membuat pembayaran mengikut jumlah harga data task ke akaun bank yang diberikan oleh Penny.

Tambahnya, mangsa telah melakukan 10 transaksi kepada lapan akaun bank berbeza antara 3 hingga 7 Julai berjumlah RM106,737 dan hanya sedar dirinya ditipu kerana sudah tiada duit lagi dan tidak mendapat pulangan duit seperti dijanjikan oleh suspek.

Dalam kes ketiga, seorang kerani sebuah syarikat pembekal perubatan di sini juga telah ditipu atas tawaran kerja sambilan atas talian yang tidak wujud.

Menurut Datuk Mohd Azman, mangsa yang merupakan seorang wanita pertengahan 20-an telah melihat satu iklan di Facebook penama profil Alena Loh yang menawarkan kerja menonton filem dan mendapat komisen.

“Mangsa memberi nombor telefonnya di Facebook Alena Loh dan suspek menghantar mesej melalui WhatsApp untuk menerangkan kepada mangsa bahawa mangsa perlu membuat pembayaran bagi setiap filem yang ditonton jika mahu mendapat komisen selepas menonton filem.

Beliau berkata, mangsa telah membuat 13 kali transaksi wang keenam akaun bank berbeza berjumlah RM54,391.78.

Katanya, mangsa rasa tertipu dan membuat laporan polis setelah mangsa tidak menerima pulangan wang miliknya dan komisen.

Dalam kes keempat, seorang pengurus syarikat swasta di Miri telah ditipu dalam satu kes penyamaran melalui panggilan telefon.

Jelas Datuk Mohd Azman, mangsa yang merupakan seorang wanita lewat 30-an menerima panggilan dari nombor yang tidak dikenali pada 7 Julai.

Katanya, pemanggil mendakwa dirinya pihak kad kredit bank HSBC dan mendakwa nama mangsa digunakan untuk membuat kad kredit di Ipoh, Perak dan kad kreditnya telah digunakan dua kali pada 23 Jun dan 24 Jun sebanyak RM7,604.69.

“Talian mangsa kemudian disambungkan kepada pihak Bank Negara untuk siasatan selanjutnya. Pihak yang mendakwa dirinya dari Bank Negara mengesahkan nama mangsa dalam kes yang disiasat oleh pihak Bank Negara.

“Kemudian talian telefon disambungkan kepada pihak polis dan mangsa bercakap dengan Sarjan Melvin Lim dan nama mangsa juga dikatakan terlibat dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM600,000,” katanya.

Jelasnya lagi, mangsa seterusnya bercakap dengan ACP Kho Fei Chow untuk membantu dalam siasatan dan cuma pegawai ini sahaja yang kononnya dapat menyelesaikan dan membantu untuk membersihkan nama mangsa.

Beliau berkata, mangsa yang panik telah diarahkan untuk mengeluarkan kesemua wang yang ada di dalam akaun bank milik mangsa dan memasukkannya ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek untuk tujuan pembersihan.

Tambahnya, mangsa telah mengeluarkan wang dari tiga akaun bank miliknya sebanyak RM84,800 dan membuat transaksi sebanyak tiga kali ke dalam dua akaun bank yang diberikan oleh suspek.

Katanya, mangsa sedar ditipu setelah suspek tidak dapat dihubungi lagi.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah tertarik dan terpedaya dengan sesuatu tawaran kerja melalui media sosial yang menawarkan gaji lumayan dan komisen yang tinggi.

Layari akaun rasmi media sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police melalui Facebook, Instagram dan TikTok untuk mendapatkan maklumat modus operandi terkini penipuan. – TVS

 

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan