Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan Penghargaan Khas Imam Sarawak kepada Dato Nahrawi Abdul Rahman pada Majlis Perasmian Muktamar Masjid-Masjid Serantau di Kuching, hari ini. Foto: Faitullah Morni (TVS)

Manfaatkan teknologi dalam pentadbiran dan pengurusan masjid – Abang Johari

ByLuqman Muhammad

KUCHING, 5 Julai: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru umat Islam terutama generasi muda supaya menitikberatkan penggunaan teknologi dalam pentadbiran dan pengurusan masjid.

Menurutnya, adalah penting bagi mereka untuk bergerak sejajar dengan perubahan masa dan menangani cabaran yang mungkin mereka hadapi pada masa hadapan.

“Ketika kita menyambut kemerdekaan Sarawak yang ke-60, umat Islam harus mengambil sedikit masa untuk memikirkan bagaimana kita boleh meneruskan usaha pembangunan.

“Sudah tentu keadaan berubah dari semasa ke semasa dan pentadbiran serta pengurusan masjid kita harus selari dengan perubahan yang berlaku sekarang. Sekarang adalah era yang menekankan penggunaan teknologi,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Muktamar Masjid-Masjid Serantau di sini, hari ini.

Mengenai Muktamar Masjid-Masjid Serantau, Abang Johari berkata program ini mampu memperkasakan pengimarahan pengurusan masjid, pemantapan ibadah dan medium penyebaran ilmu.

Menurutnya, program anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) sebagai pengisian sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka itu perlu dihayati selain menjadi wadah penting dalam perkembangan Islam serantau.

‘Mudah-mudahan dengan perkongsian ilmu kita dapat memantapkan lagi masjid-masjid kita dan secara tidak langsung menyebarkan dakwah islamiah dalam kita memantapkan kedudukan umat islam sebagai umat contoh di rantau ini,” katanya.

Sarawak mempunyai 1,590 masjid dan surau yang berdaftar.

Pada majlis itu, Abang Johari turut menyampaikan Penghargaan Khas Masjid dan Surau Sarawak dan Penghargaan Khas Imam Sarawak kepada penerima antaranya, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan mantan Imam Besar Negeri Sarawak, Dato Nahrawi Abdul Rahman.

Program yang berlangsung 5 hingga 6 Julai itu menghimpunkan 900 orang peserta termasuk dari Indonesia dan Brunei Darussalam.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan