Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Cikgu Hailmi berpandangan, pengalaman tujuh tahun mengajar di Sarawak membentuknya menjadi seorang guru yang peka dengan pelajarnya. Foto: Norhailmi Abdul Mutalib (Facebook)

Pengalaman di Sarawak bantu tersenarai sebagai guru terbaik dunia

ByFirdaus Ismail

KUCHING, 24 Jun: Seorang guru yang pernah bertugas selama tujuh tahun di Sarawak mengakui pengalaman di Bumi Kenyalang turut menyumbang kepada pencapaiannya disenaraikan sebagai antara guru terbaik dunia pada 2020.

Norhailmi Abdul Mutalib, 41, yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar No. 1 Sibu selama tujuh tahun bermula pada 2007 berkata, kekangan yang wujud telah melatihnya untuk memikirkan penyelesaian terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran.

Mendedahkan rahsia, Cikgu Norhailmi yang kini menyandang jawatan Guru Cemerlang Sains di SMK Jerlun, Kedah berkata, semua bahan pendidikan seperti penghasilan video eksperimen subjek berkenaan bermula di Sarawak dan diteruskan apabila pulang ke Semenanjung Malaysia.

Pengalaman mencurah ilmu kepada pelajar pelbagai bangsa turut melatih kemahiran berkomunikasi yang baik kepada Cikgu Norhailmi.

“Sebenarnya pengalaman di Sarawak sangat berharga kerana membentuk apa yang saya ada pada hari ini termasuk dilantik sebagai Guru Gemerlang.

“Sarawak merupakan tempat pertama saya posting dan menjadi medan saya keluarkan bakat dan cuba kemahiran sebagai guru,” katanya kepada TVS.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan seorang peguam di Facebook yang berpandangan Sabah dan Sarawak bukan tempat indah untuk meneruskan kerjaya.

Nama berita nuan, manah cikgu

Peguam itu menerusi hantaran sama menulis, penjawat awam seperti polis, doktor dan guru yang dihantar bertugas ke Sabah dan Sarawak merupakan satu bentuk hukuman dan bukan rahsia lagi.

Mengulas lanjut, Cikgu Hailmi yang disenaraikan sebagai 50 Guru Terbaik Dunia oleh Varkey Foundation berkata, banyak pengalaman menarik lain akan dikenang sepanjang kerjayanya di Sarawak.

Pengalaman di SMK Luar Bandar No 1 Sibu melatih kemahiran sebagai seorang guru, kata Cikgu Norhailmi.

“Pelajar pelbagai latar belakang kaum dan agama telah membantu saya. Sekiranya dipindahkan ke mana sahaja lokasi, saya tidak ada masalah untuk bergaul atau memenangi hari murid kerana pengalaman di Sibu,” katanya.

Beliau yang turut dipilih sebagai Guru Adiwira Kebangsaan 2019 berkata, ramai rakannya yang pernah bertugas di Sarawak kini menikmati karier yang lebih baik apabila menyandang jawatan penting selepas pulang ke Semenanjung Malaysia.

Cikgu Tarmizi berpandangan setiap penjawat awam yang dihantar bertugas di sesuatu lokasi adalah bagi memenuhi keperluan perkhidmatan setempat. Foto: Facebook Mohd Tarmizi

“Jadi maksudnya pengalaman mereka di Sarawak membentuk menjadi guru yang berkualiti, ada ciri – ciri tersendiri kerana senang bergaul dengan masyarakat luar serta penyayang dengan murid,” katanya yang turut dipilih sertai kursus guru antarabangsa di Pusat Nuklear Eropah di Geneva, Switzerland. 

Sementara itu, seorang lagi guru berasal dari Kulim, Kedah, Mohd. Tarmizi Mat Lin yang sudah 15 tahun mengajar di Sarawak turut tidak bersetuju dengan kenyataan peguam berkenaan.

Beliau mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tunoh, Kapit berkata, penjawat awam yang ditugaskan di Sabah atau Sarawak adalah bagi memenuhi keperluan perkhidmatan diperlukan dalam usaha untuk memajukan Malaysia.

“Bagi saya sesiapa yang bertugas di sini sangat bertuah kerana berpeluang bekerja dalam kepelbagaian kaum yang unik dan rapat antara satu sama lain.

“Peluang ini agak susah untuk didapati di tempat lain,” katanya. -TVS

 

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan