Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Selaras senapang patah dan beberapa butir peluru turut dirampas sebagai barang kes. Foto: IPD Lubok Antu.

Disangka seekor kera, lelaki maut ditembak rakan ketika berburu

LUBOK ANTU, 24 Jun: Seorang lelaki maut dipercayai terkena tembakan rakannya sendiri ketika mereka berburu di kawasan hutan Temawai Angat di Engkilili dekat sini, kelmarin.

Insiden itu berlaku apabila salah seorang daripada tiga rakan yang menyertai misi berburu itu tertembak mangsa yang disangkakan seekor kera.

Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Deputi Superintendan (DSP) Victor Ripon berkata, siasatan awal mendapati seorang lelaki berusia 46 tahun dipercayai tertembak mangsa yang berusia 45 tahun ketika mereka bersama-sama keluar berburu di kawasan hutan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek bersama tiga lagi rakannya telah masuk ke hutan berkenaan membawa senjata api serta beberapa butir peluru pelbagai jenama bagi tujuan memburu.

“Semasa sedang berburu, suspek telah melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangkakan seekor kera lebih kurang jarak 25 meter.

“Malangnya, apa yang ditembaknya rupa-rupanya rakan sendiri yang berada dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, suspek kemudian telah bertindak mengarahkan dua rakannya yang lain untuk pergi ke rumah panjang bagi meminta pertolongan untuk membawa mangsa balik ke rumah panjang.

“Bertindak daripada maklumat yang diterima pada jam 10 malam 22 Jun, pihak polis telah pergi ke rumah mangsa dan menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa telah dirujuk ke Hospital Sri Aman II untuk tindakan selanjutnya. Sejurus itu, tiga suspek lelaki berusia antara 19 dan 46 tahun telah ditahan dan dibawa ke IPD Lubok Antu untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Menurutnya, polis turut merampas selaras senjata api dan lima butir peluru dan serta satu kelongsong pelbagai jenama dan juga barang-barang mangsa.

Sehubungan itu, Victor menasihatkan masyarakat setempat terutamanya penduduk daerah Lubok Antu agar tidak menyembunyikan ataupun bersubahat dengan mana-mana pihak jika berlaku kejadian seumpamanya dan laporkan segera kepada pihak polis.

Tegasnya, polis tidak akan berkompromi jika didapati dan dikesan kejadian tersebut yang boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan