Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Rakyat Thailand masih menunggu siapa Perdana Menteri mereka selepas Pilihan Raya Umum Thailand pada Mei lepas. Foto Fail AFP.

SPR Thailand sahkan keputusan pilihan raya bolehkan pembentukan kerajaan baharu

ByBernama

BANGKOK, 19 Jun: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand hari ini memperakui keputusan Pilihan Raya Umum 14 Mei lepas yang membuka laluan kepada penggal baharu Parlimen yang akan bersidang dalam tempoh 15 hari selain pembentukan kerajaan baharu dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Kesemua 500 kerusi Dewan Perwakilan – 400 kerusi kawasan pilihan raya dan 100 kerusi senarai parti yang diperuntukkan berdasarkan perwakilan berkadar, telah pun disahkan.

Setiausaha Agung SPR, Sawaeng Boonmee, berkata walaupun SPR telah memperakui keputusan semua kerusi, siasatan mengenai penipuan pilihan raya akan terus dijalankan dalam tempoh setahun.

Selepas pengesahan kesemua 500 Ahli Parlimen hari ini, Parlimen baharu mesti bersidang dalam tempoh 15 hari untuk memilih Speaker dan timbalan speaker yang baharu.

Speaker Dewan akan menetapkan tarikh sesi bersama 500 ahli Dewan Perwakilan yang dipilih dan 250 senat untuk mengundi memilih perdana menteri baharu.

Media tempatan melaporkan Parlimen baharu dijangka bersidang pada 3 Julai.

Mengenai aduan terhadap 71 Ahli Parlimen di 37 kawasan yang didakwa melanggar peraturan pilihan raya, Sawaeng berkata SPR tidak dapat menyelesaikan siasatan dalam tempoh 60 hari.

Oleh itu, suruhanjaya memutuskan untuk memperakui keputusan semua kerusi terlebih dahulu.

Mengenai siasatan terhadap pemimpin parti Move Forward dan calon perdana menteri, Pita Limjaroenrat, Sawaeng berkata siasatan masih belum selesai.

Pita sedang disiasat bagi menentukan sama ada beliau layak bertanding dalam pilihan raya umum bulan lepas kerana pemilikan saham dalam iTV Plc, penyiar yang menghentikan operasi pada 2017, yang mengikut undang-undang pilihan raya beliau tidak boleh bertanding.

Parti golongan muda Move Forward yang diterajui  Pita memperoleh lebih 14.2 juta undi dan memenangi 151 daripada 500 kerusi di Dewan Perwakilan pada pilihan raya bulan lalu.

Gabungan lapan parti yang diketuai oleh Parti Move Forward, ditubuhkan dan menguasai 313 daripada 500 kerusi Dewan.

Namun, tiada jaminan bahawa gabungan Pita akan berjaya membentuk kerajaan kerana ia masih perlu mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya 63 ahli Senat yang dilantik oleh kerajaan tentera Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha selepas rampasan kuasa 2014, untuk mengumpul 376 undi secara keseluruhan.

Berdasarkan sejarah, para senator sebelum ini menyebelahi parti yang disokong tentera. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan