Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kuasa solar entara kuasa gadung enggau ulih dikemaru. Foto: Gabungan Binaan Jurutenaga Sdn Bhd

Skim NEM membolehkan pemilik kediaman di Sarawak pasang panel solar

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 12 Jun: Pengenalan Skim Permeteran Tenaga Bersih (NEM) oleh Kerajaan Sarawak pada Mac lalu merupakan inisiatif bagi membantu pemilik kediaman di negeri ini memasang panel solar pada bumbung kediaman masing-masing.

Sistem solar yang dipasang di kediaman akan menjana tenaga ke talian grid SEB sepenuhnya. Manakala, sumber elektrik bagi pengguna rumah masih dari talian grid utama.

Kerja-kerja pemasangan panel solar oleh syarikat Gabungan Binaan Jurutenaga Sdn Bhd di sebuah kediaman di Kuching. Foto: Gabungan Binaan Jurutenaga Sdn Bhd

Skim NEM yang diperkenalkan itu merupakan mekanisme pengebilan yang mengkreditkan pemilik sistem PV secara langsung untuk elektrik yang mereka salurkan ke grid.

Misalnya, jika pengguna kediaman mempunyai sistem PV di atas bumbung, ia mungkin menjana lebih banyak elektrik daripada kegunaan rumah pada waktu siang.

Pada penghujung tempoh pengebilan pada setiap bulan, jika pelanggan telah menyalurkan lebih banyak elektrik ke grid daripada yang mereka gunakan, mereka akan menerima kredit pada bil elektrik mereka.

Sebaliknya, jika mereka menggunakan lebih banyak elektrik daripada yang mereka salurkan, pemilik kediaman akan dibilkan untuk jumlah bersih.

Penggunaan panel solar yang menjana tenaga solar fotovoltaik (PV) adalah untuk kegunaan sesebuah kediaman itu sendiri, manakala baki selebihnya boleh dieksport ke grid di bawah seliaan Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk dikreditkan dalam bil bulanan. Foto: Gabungan Binaan Jurutenaga Sdn Bhd

Kelebihan skim NEM kepada pengguna

Di Sarawak, terdapat beberapa syarikat kontraktor elektrik yang bertauliah yang mampu menjalankan kerja-kerja pemasangan panel solar dan satu daripadanya ialah syarikat Gabungan Binaan Jurutenaga Sdn Bhd di Kuching.

Menurut jurutera projek syarikat itu, Murphy Nyambong Michael, terdapat beberapa manfaat terhadap skim NEM kepada pemilik kediaman, selain daripada penjimatan bayaran bil elektrik bulanan.

“Kelebihan NEM ini dia memberi penjimatan kos kepada pengguna melalui sistem sumber solar elektrik yang dijanakan daripada matahari sekali gus dapat mengurangkan bil elektrik bulanan pengguna.

“Kedua, pulangan atas pelaburan dalam jangka masa panjang iaitu penjimatan jangka panjang pada bil elektrik boleh membantu semula mendapatkan pelaburan awal,” katanya ketika ditemui TVS di sini, baru-baru ini.

Selain itu, ujar beliau, ia turut memberi manfaat dari segi faedah alam sekitar kerana sistem NEM menjana tenaga boleh diperbaharui yang seterusnya dapat menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau dan kebergantungan kepada bahan api.

Syarikat Gabungan Binaan Jurutenaga Sdn Bhd merupakan salah satu syarikat kontraktor yang berdaftar di bawah SEB berpangkalan di Kuching bagi menjalankan kerja-kerja pemasangan panel solar. Foto: Gabungan Binaan Jurutenaga Sdn Bhd

Bagaimana NEM berfungsi?

Mengulas lanjut, Murphy memberitahu, pengoperasian NEM hanya menggunakan tiga komponen teras dan ia tidak menggunakan bateri sama sekali.

“Komponen pertama dalam pemasangan NEM ialah panel solar yang dipasang di atas bumbung iaitu ia berfungsi menyerap sumber tenaga matahari dan seterusnya akan mengeluarkan arus terus (DC).

“Kemudiannya, daripada solar panel itu ia akan disambung di penyongsang yang berfungsi menukarkan arus elektrik DC kepada arus ulang-alik (AC) dan seterusnya arus itu disalurkan ke komponen terakhir iaitu meter luar.

“Meter luar mempunyai meter sedia ada dan juga meter fotovoltaik (PV) yang berfungsi mengira berapa banyak sumber tenaga yang telah dijanakan menerusi pemasangan NEM,” jelasnya.

Ujar beliau, sebagai contoh, sekiranya bil bulanan elektrik yang dijana oleh NEM tersebut ialah RM 120, tetapi penggunaan sebenar adalah hanya RM100 sahaja, ia akan menyaksikan lebihan sebanyak RM20 itu akan dikreditkan pada bil bulanan seterusnya.

“Sebaliknya, jika penggunaan adalah sebanyak RM120 tetapi yang dijana oleh NEM tersebut sebanyak RM100, maka pengguna hanya perlu membayar RM20 sahaja untuk bulan tersebut,” katanya.

Di samping itu, Murphy menegaskan bahawa menerusi NEM, kualiti elektrik tidak akan terjejas sekiranya cuaca mendung ataupun hujan kerana sumber elektrik utama bagi pengguna masih daripada grid luar.

Katanya, jangka hayat bagi setiap panel solar yang dipasang menerusi skim NEM adalah sekitar 20-25 tahun dan kos penyelenggaraannya adalah sangat rendah.

Foto sebelum (kiri) dan selepas (kanan) pemasangan panel solar oleh syarikat Gabungan Binaan Jurutenaga Sdn Bhd di sebuah kediaman di Kuching. Foto: Gabungan Binaan Jurutenaga Sdn Bhd

Kapasiti maksimum untuk pemasangan

Sementara itu, Murphy memberitahu pemilik kediaman dibenarkan memasang sitem PV solar dengan kapasiti yang menjana tenaga tidak melebihi 75 peratus daripada purata penggunaan selama 12 bulan.

Bagi sistem yang melebihi kapasiti yang ditetapkan, pemohon hendaklah mendapatkan kelulusan dari SEB.

Proses mudah pemasangan NEM

Dalam pada itu, mengulas mengenai proses pemasangan NEM pula, Murphy berkata, permohonan NEM hanya boleh dikemukakan oleh kontraktor yang berdaftar di bawah SEB yang dilantik bagi pihak pelanggan mereka.

“Prosesnya sangat mudah iaitu pengguna boleh melantik kontraktor yang bertauliah sebagai contoh syarikat kami (Gabungan Binaan Jurutenaga Sdn Bhd).

“Kemudian kami akan membuat lawatan tapak di rumah pelanggan untuk melihat keadaan rumah itu dan juga mengenal pasti penggunaan elektrik bulanan pengguna bagi memudahkan kami menghasilkan reka bentuk panel solar yang sesuai untuk rumah tersebut,” jelasnya.

Murphy berkata, setelah reka bentuk itu diluluskan, pihaknya akan melakukan pemasangan sistem panel solar di kediaman pemilik.

Menurutnya, proses awal hingga akhir bagi permohonan skim NEM dan pemasangan mengambil masa sekitar empat hingga lima bulan.

Setakat ini, katanya, syarikatnya telah berjaya memasang di dua buah kediaman masing-masing di Kuching dan Sibu dan kini menyasarkan lebih banyak kawasan terutamanya di kawasan perumahan bandar.

Tambahnya, syarikatnya menjadi kontraktor perumahan pertama di Sarawak yang menggunakan skim NEM dalam projek perumahan mereka di Perumahan Pintar Berinovasi di Samariang.

Jelasnya, pengenalan skim NEM dalam projek perumahan syarikatnya merupakan satu usaha bagi menyahut seruan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menggalakkan penggunaan panel solar di kediaman-kediaman. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan