Search
Close this search box.
Datuk Len Talif Salleh mewakili Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Penutupan Projek Eko Marin SFC dan PETRONAS di Miri, hari ini.

Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti lonjak sektor perikanan dan pelancongan

MIRI, 9 Jun: Hasil tangkapan para nelayan telah meningkat dengan pelaksanaan Projek Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti bernilai RM8 juta oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan PETRONAS.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek berkenaan juga antara inisiatif pemuliharaan biodiversiti sejajar dengan objektif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

“Mata pencarian nelayan-nelayan yang berada di persekitaran Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti kini telah meningkat susulan pelaksanaan projek eko marin ini. 

“Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti juga telah diiktiraf sebagai salah satu lokasi menyelam yang terbaik di Sarawak. Terdapat pelbagai terumbu karang yang cantik dan khazanah lautannya yang cukup memukau di Taman Negara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh pada Majlis Penutupan Projek Eko Marin SFC dan PETRONAS di sini hari ini.

Sebanyak 1,750 tukun tiruan ditanam di kawasan pantai Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti. Ini telah mewujudkan habitat baru dan membantu meningkatkan jumlah ikan, ketam, udang dan sotong, sekali gus menambah pendapatan nelayan tempatan.

Abang Johari berkata lagi, Projek Tukun Tiruan Sarawak Fasa I bernilai RM70 juta yang dilancarkan pada 2019 telah bertindak sebagai pelindung terumbu karang dan kehidupan marin sepanjang perairan Sarawak.

Menurutnya, sebagai susulan kerajaan telah meluluskan Projek Tukun Tiruan Sarawak Fasa II bernilai RM30 juta.

Ini berikutan kejayaan projek fasa I dalam usaha mewujudkan zon-zon baru bagi pelancongan marin, sukan memancing, marikultur dan penubuhan taman negara marin yang baharu.

Setelah siap projek fasa II kelak, beliau berharap ia akan meningkatkan bukan sahaja pendapatan nelayan, tetapi juga ekopelancongan.

“Diharap dengan projek fasa II nanti, ia akan dapat mendorong perkembangan industri ekopelancongan di Miri dan Sarawak secara keseluruhan,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan