Search
Close this search box.
Lumba kerbau pada Pesta Babulang. Foto: TVS

Pesta Babulang pikat pengunjung luar negara

LIMBANG, 4 Jun: Pesta Babulang dan Lumba Kerbau yang memasuki edisi ke-18 tahun ini berjaya menjunjung budaya dan adat tradisi suku kaum Bisaya di Sarawak.

Keunikan budaya, adat resam, makanan tradisional, pakaian etnik, tutur percakapan serta bahasa kaum Bisaya berjaya memikat kehadiran pengunjung bukan saja di Malaysia, Brunei Darussalam dan sekitarnya, malah pelancong dari luar negara.

Pengunjung yang hadir turut disajikan dengan kepelbagaian acara kebudayaan kaum Bisaya termasuk ratu dan panglima babulang, nakod babulang, rakit berhias dan pelbagai acara sukan tradisi lain.

Keunikan ini turut membuat hampir 30 orang pengunjung dari negara jiran Brunei Darussalam yang berkunjung ke Batu Danau jatuh cinta dengan kekayaan budaya masyarakat Bisaya yang ditonjolkan pada pesta kali ini.

Seorang pesara kerajaan dari negara jiran Brunei Darussalam, Norjinah @Hazegovina Musa berusia 60-an dari Kampung Telisai berkata, kaum Bisaya memiliki adat budaya yang menjadi aset berharga yang perlu diwarisi dan dipelihara.

Norjinah @Hazegovina Musa. Foto: TVS

“Saya mengikut rombongan persendirian ke sini. Ini adalah kali pertama kami berkunjung di Pesta Babulang di Kampung Batu Danau dan kami ke mari untuk menyelurusi budaya orang-orang Bisaya di sini,” katanya ketika ditemui TVS pada penganjuran Pesta Babulang dan Lumba Kerbau di Batu Danau hari ini.

Norjinah yang pernah berkhidmat dalam sektor kerajaan di Brunei lebih 30 tahun menjelaskan Pesta Babulang mempunyai keunikan tersendiri dan mampu diketengahkan sebagai satu produk pelancongan untuk menggamit pengunjung yang datang.

Malah, katanya, keunikan pakaian etnik Bisaya yang dipakai kaum itu sepanjang pesta berlangsung menarik minatnya untuk mengetahui lebih mendalam mengenai sejarah kaum itu yang mempunyai persamaan dengan kaum Dusun di negara Brunei Darussalam.

“Yang saya terpikat ialah mengenai pakaian mereka dan saya juga berketurunan ataupun mempunyai warisan dari Dusun Brunei Darussalam,” ujarnya lagi.

Bagi bekas pensyarah Maktab Perguruan Jerudong Brunei, Ali Mustapa Ahmad, 82, dari Kampung Sungai Tampoi Sangkurung Brunei Darussalam, layanan mesra dan ramah masyarakat Bisaya membuatnya jatuh cinta dengan kemesraan dan kebudayaan kaum tersebut.

Katanya, melalui pesta itu beliau dapat mengenali keunikan dan adat resam Bisaya yang berbeza dengan di tempat lain terutama di negaranya.

Ali Mustapa Ahmad. Foto: TVS

Malah, katanya, pesta itu mampu merapatkan lagi hubungan antara Limbang yang serumpun dengan Brunei Darussalam dan mempunyai banyak persamaan budaya dan bahasa masing-masing.

“Kami bangga datang ke mari datang ke Batu Danau, nampaknya orang-orang sini sangat baik, cantik-cantik, lawa-lawa semua orangnya dan orangnya peramah juga dan apabila saya jumpa mereka di sini kebanyakannya mereka pernah datang ke Brunei Darussalam dan saya juga pernah mengajar mereka semasa saya jadi pensyarah di Maktab Perguruan Gadong Brunei,” jelasnya.

Katanya, meskipun kerap kali ke Limbang, ia merupakan pengalaman manis kali pertama dapat menjejakkan kaki ke Batu Danau yang menjadi venue utama penganjuran pesta yang bertaraf kebangsaan dan dunia itu sejak dianjurkan pada 2005.

Seorang lagi pesara kerajaan, Pengiran Chuchu Pengiran Wahab 70-an dari Kampung Lambak Kiri Brunei Darussalam berkata, beliau sangat beruntung dan bertuah kerana dapat merasai pengalaman menyeronokkan dapat mengenali budaya kaum Bisaya secara lebih dekat.

“Ini adalah pertama kali saya melihat kaum ini mengadakan sambutan, saya sangat tertarik hati kerana apa yang saya lihat ini adalah sesuatu yang baharu saya pernah lihat setelah kita melihat di Sabah kelmarin.

“Ini satu perayaan yang unik yang berbeza dengan apa yang kita lihat di Penampang Sabah,” katanya lagi.

Pengiran Chuchu Pengiran Wahab. Foto: TVS

Dianggarkan hampir 10,000 pengunjung tempatan dan luar memeriahkan pesta selama tiga hari, yang bertemakan Saganao, yang merupakan acara besar di utara negeri ini.

Lebih manis pengunjung luar berkesempatan berkongsi budaya dengan duduk makan beradap pada majlis nakod babulang, serta turut memakai pakaian tradisi kaum Bisaya.

Pelbagai aktiviti kebudayaan diadakan termasuk lumba kerbau, nakod babulang, ratu dan panglima babulang, nakod babulang, upacara membuka dulang pagar, rakit berhias, bot kawalan jauh, sukan tradisi, persembahan tarian tradisi seperti alai anding, bagandang dan aktiviti kebudayaan lain. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan