Search
Close this search box.
Hasbi ketika merasmi Nakod Babulang hari ini. Foto: TVS.

Jangan terpengaruh tindakan pihak mainkan isu agama, kalimah Allah – Hasbi Habibollah

LIMBANG, 3 Jun: Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah mendedahkan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan memainkan isu agama berkaitan penggunaan kalimah Allah yang dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian kaum sedia ada.

Oleh itu katanya, rakyat di Sarawak diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab yang cuba memainkan isu agama melalui penggunaan media sosial.

Jelas Ahli Parlimen Limbang itu lagi, penggunaan kalimah Allah bukan menjadi isu bagi penduduk di Sabah dan Sarawak walaupun ia agak sensitif di Semenanjung Malaysia.

Katanya, rakyat tanpa mengira bangsa dan keturunan di negeri ini perlu terus mengukuh perpaduan yang ada dan tidak terpengaruh dengan isu yang dibangkitkan itu.

“Kita tahu masa ini banyak isu-isu dimainkan di internet, di media massa berkaitan isu agama, isu Allah dan sebagainya.

“Jadi saya minta kepada rakyat kita di Limbang tidak kira apa bangsa apa agama jangan terikut-ikut dengan isu-isu yang dibangkitkan, kita di Sarawak tidak ada masalah sudah diputuskan oleh kerajaan sebelum ini di Sarawak baik saja, berbanding di Semenanjung tapi ada juga yang nak menimbulkan isu tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Babulang dan Lumba Kerbau 2023 di Dewan Kebudayaan Kampung Batu Danau, Limbang hari ini.

Acara lumba kerbau yang mencuri tumpuan pengunjung di Batu Danau.
Foto: TVS

Turut sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang, Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, Datu Antonio Kahti Galis, Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal dan Presiden Persatuan Bisaya Sarawak, Joseph Blandoi.

Hasbi berkata, generasi hari ini perlu terus mengukuhkan dan memelihara keharmonian dan perpaduan kaum yang dinikmati hari ini.

Malah, katanya, Sarawak amat dikenali dengan keharmonian rakyatnya yang berbilang kaum dan kekuatan ini perlu dipertahankan daripada anasir-anasir luar yang cuba memecah belahkan kestabilan yang dinikmati.

“Pengguna media massa dan internet dunia maya, jangan mudah terpengaruh semua ini dan bagi saya ini tidak lain dan tidak bukan adalah usaha untuk memecah belahkan rakyat kita dengan mengungkit isu agama dan sebagainya.

“Jangan kita terpengaruh, terutama orang muda-muda, generasi baru dan kita yang semua jangan kita terpengaruh semua ini,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan