Search
Close this search box.
Para peniaga tidak ada pilihan selain menyediakan beg plastik kepada pelanggan untuk membungkus barangan. Foto: Mohamed Raffiq (TVS)

Hari Alam Sekitar 2023: Pengurusan sisa plastik berkesan perlu demi kelestarian alam sekitar

ByAmirah Shawel

KEBERGANTUNGAN terhadap beg plastik dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah perkara yang sukar untuk dielakkan kerana penggunaannya memudahkan urusan jual beli.

Seorang peniaga ayam, Sajanah Sawi, 55, berkata sepanjang lapan tahun berniaga dia perlu membeli beg plastik setiap hari untuk membungkus ayam malah perlu memenuhi permintaan pelanggannya yang mahukan plastik lebih.

‘Kami tiada pilihan selain plastik’

“Ayam yang dibeli memang kita akan bungkus dalam beg plastik. Selalunya memang akan guna ‘double’ sebab tidak mahu bungkusan mereka basah,” katanya ketika ditemui TVS, baru-baru ini.

Jelasnya lagi, dia tiada pilihan lain kerana khuatir pelanggan merungut sekiranya tidak menyediakan beg plastik dan menganggap dia kedekut.

Seorang peniaga ikan, Lo Siaw Joo, 63, turut memiliki kebimbangan yang sama jika pelanggan enggan membeli daripadanya lagi kerana tidak menyediakan beg plastik.

Penggunaan beg plastik secara tidak bertanggungjawab membawa kepada pencemaran alam sekitar jika tidak diurus secara berkesan. Foto: Mohamed Raffiq (TVS)

Katanya, dia membelanjakan lebih RM100 setiap minggu untuk membeli plastik sahaja meskipun pelanggan tidak perlu membayarnya dan merasa rugi.

“Kami terpaksa membeli dan memberi mereka plastik secara percuma. Kadang kala ada pelanggan yang mahukan plastik untuk setiap satu ikan yang dibeli. Jika tidak diturut, siapa yang akan beli ikan dari kami?

“Harga plastik juga semakin mahal sekarang,” katanya.

Walaupun Siaw Joo menyahut saranan untuk mengguna pakai bekas guna semula ketika membeli barangan, saiz ikan yang pelbagai dan besar akan menyukarkan pembungkusan.

Katanya, penggunaan plastik hanya dapat dikurangkan dalam kalangan peniaga sekiranya terdapat cadangan dan alternatif lain daripada pihak berkuasa tempatan.

Ekosistem bebas plastik sekali guna

Isu berlarutan ini dapat didepani sekiranya pihak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat mengusahakan satu inisiatif untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dalam urusan jual beli.

Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Rafeah Wahi berkata PKS menyarakan agar mewujudkan ekosistem bebas plastik sekali guna.

“Ini adalah satu modal perniagaan yang sangat mudah dan langkah ini boleh membantu dalam mengurangkan kos perniagaan mereka sendiri kerana tidak perlu membeli bahan plastik bagi pembungkusan,” katanya.

Beliau berkata ekosistem seperti ini akan memberi keuntungan kepada PKS terutamanya kerana menggalakkan para pelanggan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap plastik.

Ekosistem ini juga secara langsung memujuk pelanggan untuk memanfaatkan pembungkus mesra alam dan boleh diulang guna yang sudah dimiliki.

Laporan terbitan World Wildlife Fund (WWF-Malaysia) pada 2022 mendedahkan Malaysia catat 16.8kg pembungkusan beg plastik per kapita tahunan bagi setiap individu. Foto: Mohamed Raffiq (TVS)

Mekanisme kondusif urus sisa plastik

Dr Rafeah yang juga Penyelaras Qadim Hub, Pusat Kelestarian Universiti UNIMAS berkata pengurusan sisa plastik tidak sistematik adalah faktor utama yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar di Malaysia.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) hendaklah melaksanakan tanggungjawab dalam mewujudkan satu mekanisme yang berkesan untuk mewujudkan ekosistem pengurusan sisa plastik.

Beliau mencadangkan agar PBT menjalinkan kerjasama dengan kontraktor perkhidmatan pengurusan kutipan sampah agar sisa buangan dapat diurus secara mampan.

“Ini kerana mekanisme yang kondusif membenarkan apa apa jenis sampah yang diasingkan pihak individu akhirnya benar-benar melalui proses tertentu dan bukan terus dibuang ke tapak pelupusan sampah,” katanya.

Tambahnya, satu dasar yang tegas juga perlu dirangka dan diperkenal bagi memastikan polisi-polisi yang dilaksanakan berkaitan pengurusan sisa plastik dapat diselaraskan dengan berkesan.

Sebagai contoh, Pulau Pinang telah merangka Dasar Pengurusan Sisa Plastik bagi meminimumkan impak pencemaran plastik di negeri itu dengan PBT sebagai pelaksana dasar.

Dasar berkenaan melihat kepada pendekatan pengurusan dan kawalan terhadap kitaran hayat produk plastik dari peringkat pengeluaran sehingga proses pelupusan.

Dasar itu turut mengambil kira kepentingan pemegang taruh secara menyeluruh termasuk rakyat, pengilang, alam sekitar serta kerajaan.

Dalam konteks Sarawak, dasar pengurusan sisa masih berada pada tahap perbincangan dan penyelidikan.

Ini kerana kerajaan Persekutuan baru-baru ini telah menyerahkan sepenuhnya kuasa pengurusan alam sekitar kepada kerajaan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada 5 April lalu.

Sarawak kini diberi kuasa untuk mengawal sepenuhnya perkara berkaitan alam sekitar dan turut bertanggungjawab menguruskan sisa terjadual.

Sebelum ini, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian turut menggesa PBT untuk memberi kerjasama yang holistik kepada syarikat pengendali pengurusan sisa bersepadu negeri.

Katanya, tindakan ini adalah untuk meningkatkan kualiti pengurusan sisa pepejal yang lebih efektif di Sarawak agar tidak menyumbang kepada pencemaran alam yang lebih genting.

Guna plastik secara bertanggungjawab

Mengulas mengenai kebergantungan komuniti terhadap plastik dalam kehidupan seharian, Dr Rafeah berkata beg plastik seharusnya digunakan secara bertanggungjawab.

Katanya, penggunaan beg plastik perlu pada tahap yang berpada dan dikecualikan untuk kelangsungan aktiviti harian umpamanya membuang sampah.

“Penggunaan beg plastik ini bukan tak boleh langsung sebab alat itu dicipta untuk memudahkan tugasan harian. Individu boleh mengguna semula plastik yang diperoleh selepas membeli belah atau yang diterima dan tidak membeli plastik baru. Jangan gunakannya secara berlebihan,” katanya.

Namun, masyarakat disaran untuk memilih alternatif mesra alam seperti tiffin, bekas atau beg kain berbanding pilihan sekali guna, sebagai contoh plastik terbiodegradasi.

Jelas Dr Rafeah, meskipun plastik terbiodegradasi adalah pilihan yang lebih baik berbanding plastik lazim, tetapi masih memerlukan masa untuk mereput dan tetap akan dibuang selepas diguna.

“Tentunya jika ada alternatif yang tidak perlu dibuang selepas diguna, sememangnya lebih baik,” katanya.

Kempen kesedaran

Melihat kepada inisiatif kempen kesedaran yang dijalankan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha meningkatkan tahap kesedaran rakyat Malaysia tentang pencemaran plastik, pelaksanaannya sahaja tidak mencukupi.

Presiden Sarawak Eco Warriors, Mark Liao berkata pelan jangka panjang yang holistik dan konsisten diperlukan bagi menjayakan kempen-kempen tersebut.

Menurutnya, mewujudkan dan menyebarkan kesedaran tidak dapat dicapai matlamatnya dalam tempoh singkat.

“Untuk memastikan pelaksanaan inisiatif masyarakat adalah berterusan, NGO tidak boleh melihatnya sebagai projek ‘one-off’. Rancang satu pelan tindakan yang terperinci pasca kempen.

“Inilah cara untuk membina kumpulan kerja yang peka dan cakna tentang perkara yang perlu dilakukan dan yang boleh disumbang melihat kepada gambaran yang lebih besar,” katanya.

Namun, kebergantungan terhadap plastik hanya akan dapat diatasi sekiranya ada ‘willpower’ atau pendayaupayaan yang tinggi dalam kalangan anggota masyarakat itu sendiri.

Setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha menggerakkan sebarang usaha yang diperkenalkan pihak berkaitan bagi membantu membendung pencemaran plastik.

“Kerja pemuliharaan dan pengurusan plastik ini memerlukan kerjasama rentas kerajaan, swasta dan masyarakat. Tidak boleh hanya melibatkan satu organisasi atau satu pihak berkuasa sahaja,” katanya.

Masalah pencemaran sisa plastik adalah satu isu yang berat terutamanya di Malaysia.

Kesan pencemaran alam sekitar disebabkan penggunaan plastik secara tidak bertanggungjawab juga adalah secara tidak langsung.

Berdasarkan laporan terbitan World Wildlife Fund (WWF-Malaysia) pada 2022, Malaysia mencatatkan pembungkusan plastik per kapita tahunan bagi setiap orang adalah 16.8kg.

Sebelum ini, paparan grafik yang disunting oleh Louis Lugas Wicaksono berdasarkan data kertas penyelidikan terbitan ahli akademik Belanda, Lourens JJ Meijer pada 2021 menunjukkan kedudukan Malaysia di tempat ketiga senarai 10 negara teratas menjadi penyumbang utama pencemaran plastik di lautan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan