Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kira-kira 80 orang penduduk hilang tempat tinggal selepas rumah panjang 12 pintu, Rh. Nglai Usit di Jalan Dudong di Sibu musnah dalam kebakaran pada malam Khamis. Foto: BBP Sibujaya.

80 penghuni hilang tempat tinggal, 12 pintu Rh Nglai Usit musnah

SIBU, 2 Jun: Kira-kira 80 penduduk hilang tempat tinggal selepas rumah panjang 12 pintu di Rh Nglai Usit di Jalan Dudong dekat sini musnah dalam kebakaran pada malam Khamis.

Ketika kejadian, penduduk rumah panjang tersebut sedang rancak menyambut perayaan Hari Gawai apabila digemparkan dengan kepulan asap yang terkeluar daripada sebuah bilik rumah panjang berkenaan.

Menurut seorang penduduk rumah panjang, Jimmy Nglai, 30, ayahnya (tuai rumah) telah terhidu bau seperti bahan terbakar sebelum melihat asap terkeluar dari sebuah bilik menggerakkan hatinya untuk memeriksa keadaan.

“Setelah mendapati apa yang terjadi, ayah saya terus meminta bantuan beberapa orang penduduk untuk cuba memadamkan api di sebuah bilik tidur dengan menggunakan dua unit alat pemadam api namun api semakin besar dan tidak dapat dikawal.

“Kejadian (kebakaran) berlaku sangat cepat dan kebanyakan penduduk rumah panjang tidak mampu menyelamatkan harta benda mereka dan terpaksa keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi TVS.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Andy Alie yang dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 8.49 malam.

Katanya, 18 anggota bomba dari dua balai bomba termasuk Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya dan BBP Sungai Merah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan keseluruhan rumah panjang dengan keluasan 120 kaki kali 50 kaki telah terbakar 100 peratus,” katanya.

Katanya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran hos serta 4 nozel 200 kaki daripada jentera serta sumber air dari pili bomba dan air terbuka (air parit).

“Operasi pemadaman dijalankan secara ‘offensive’ dan ‘defensive’ dari bahagian tepi kiri dan kanan sehingga kebakaran berjaya dikawal sepenuh pada jam 10.28 malam.

“Tiada laporan kecederaan mangsa mahupun kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran ini,” jelasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan