Search
Close this search box.
Datuk Sebastian Ting Chiew Yew semasa sesi bergambar sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Pelancongan Sarawak (JPPNS) di Hotel Mega hari ini. Foto: TVS

RM5.35 juta untuk Dana Mudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak

MIRI, 29 Mei: Kerajaan Sarawak telah melancarkan Dana Mudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak untuk merangsang pemulihan sektor warisan, seni dan budaya Sarawak semasa pandemik COVID-19 pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni Persembahan dan Industri Kreatif Sarawak, Dato Sebastian Ting Chiew Yew berkata, dana ini terbuka kepada individu penggiat seni, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan pertubuhan bukan berorientasikan keuntungan (NPO) tempatan berdaftar yang ingin mengadakan program atau aktiviti berkaitan seni dan budaya.

“Pada tahun 2022, Premier Sarawak meluluskan dana RM10 juta untuk Dana Mudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak. Pada tahun itu, kita berjaya meluluskan RM4.65 juta, dengan baki RM5.35 juta. Kini, kita telah mendapat kelulusan untuk menggunakan baki dana ini sebanyak RM5.35 juta untuk mereka yang ingin memohon di bawah pelbagai kategori ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Pelancongan Sarawak (JPPNS) di Hotel Mega hari ini.

Antara kategori program yang boleh dimohon di bawah garis panduan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak (MTCP) ialah bengkel, kelas, kursus, forum dan seminar, pementasan, pertandingan, pameran, pendokumentasian, pesta, kegiatan dan aktiviti melibatkan komuniti setempat, dan lain-lain program yang menyumbang kepada pembangunan sektor warisan, kesenian dan kebudayaan Sarawak.

MTCP juga menyediakan dana kepada penggiat industri kreatif di Sarawak yang terbahagi kepada lima bahagian iaitu seni kreatif, seni dan budaya, produksi media, rekaan dan teknologi informasi.

Para pemohon diberi masa untuk memohon sehingga hujung Oktober tahun ini di laman web iaitu mtcp.sarawak.gov.my memandangkan proses meluluskan dana mengambil masa sehingga Disember tahun ini.

“Jadi ini bahagian yang kita nak promosikan. Kita galakkan mereka yang memerlukannya. Kalau kamu ragu-ragu, mohon sahaja. Tanya dan mohon. Kita ada RM5.35 juta. Kita galakkan orang kita untuk mohon. Ini sehingga penghujung Oktober tahun ini sebab perlu ambil masa untuk memproses dana untuk dikeluarkan pada Disember,” katanya lagi.

Setakat ini, sebanyak 128 acara telah diadakan pada tahun 2022 manakala bagi tahun 2023 sehingga bulan Mei, sebanyak 74 acara telah dianjurkan di seluruh Sarawak.

MTCP juga terus mengusahakan rancangan untuk menjadikan Kuching sebagai Gerbang Umrah Serantau, penubuhan kluster pelancongan homestay baharu dan penggubalan Rang Undang-undang Majlis Kraf Sarawak 2023 yang baru diluluskan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu.

Sebastian menyatakan pandangan optimistik untuk mencapai lebih 3 juta pengunjung dan menjangka untuk menjana pendapatan sehingga RM7.25 bilion dalam sektor pelancongan pada penghujung tahun 2023. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan