Search
Close this search box.
Nur Hazirah (tengah) mempamerkan prestasi memberangsangkan pada penampilan pertamanya di pentas antarabangsa. Foto: Nur Hazirah Ramli.

Pemain boling Sarawak curi tumpuan di Filipina

ByElani Rosllan

KUCHING, 20 Mei: Pemain remaja kebangsaan dari Sarawak, Nur Hazirah Ramli lulus cemerlang dalam ujian pertamanya di pentas antarabangsa selepas muncul naib juara remaja Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Filipina, petang semalam.

Nur Hazirah yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan awal tahun ini mencuri tumpuan apabila mendahului sejak pusingan kelayakan dan mengekalkan rentak cemerlang dalam aksi lapan permainan di Coronado Lanes, Mandaluyong City.

Pemain boling Sarawak, Nur Hazirah Ramli curi tumpuan di Filipina.

Nur Hazirah mara ke peringkat step ladder selaku pilihan utama selepas mengumpul 1,616 pin.

Rakan senegara, Nurul Anis Nabila di tempat kedua manakala peserta tuan rumah, Danielle Escolano turut menempah slot di tempat ketiga.

Nurul Anis Nabila kemudian menyingkirkan Danielle pada separuh akhir untuk memastikan wakil Malaysia bertembung sesama sendiri di final.

Foto: Nur Hazirah Ramli.

Kemenangan berpihak kepada pemain berasal dari Kedah itu dengan keputusan 194 berbanding 168 yang dilakukan oleh Nur Hazirah.

Dihubungi TVS, Nur Hazirah berkata, dia berpuas hati dengan keputusan berkenaan walaupun tidak muncul juara.

“Ini merupakan kali pertama saya mewakili negara dan sudah semestinya mendapat pendedahan berguna untuk meningkatkan prestasi pada kejohanan akan datang,” katanya.

Foto: Nur Hazirah Ramli.

Mengenai aksi final semalam, Nur Hazirah berkata, dia melakukan beberapa kesilapan termasuk cepat panik sekali gus menjejaskan balingannya.

“Selain itu, saya juga tidak membuat perubahan dengan cepat,” katanya.

Nur Hazirah berkata, dia berazam untuk mengekalkan rentak cemerlang pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia di Petaling Jaya yang akan bermula pada  pada 23 Mei ini.

Sementara itu, Malaysia turut meraih kejuaraan berganda selepas Syabil Azam menewaskan peserta tuan rumah, Mark Custodio dengan keputusan 221-181 di final.

Tempat ketiga turut menjadi milik wakil Malaysia, Daniel Abu Samah manakala pemain boling remaja negara dari Sarawak, Tsen Fan Yew menamatkan cabaran di tempat ke-13. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan