Search
Close this search box.
Datuk Seri Salahuddin Ayub bersama Sayantan Das serta rakan kongsi restoran yang menawarkan item Menu Rahmah pada Pelancaran Inisiatif Payung RAHMAH bersama foodpanda Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. Foto: Bernama

Prestasi inisiatif RAHMAH akan dinilai pada mesyuarat khas KPDN akhir Jun ini – Salahuddin

ByBernama

KUALA LUMPUR, 17 Mei: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan mesyuarat khas bagi menilai prestasi inisiatif RAHMAH dan memperkasakan lagi usaha itu, hujung Jun ini.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata mesyuarat itu adalah bagi menilai inisiatif RAHMAH secara komprehensif dan holistik sejak ia dilaksanakan Januari lepas, sebaik sahaja inisiatif itu mencapai tempoh enam bulan.

“Mesyuarat khas itu adalah untuk kita lihat tentang apa jua tindakan, kesan-kesan langsung dan juga pandangan daripada pelbagai pihak. Malah KPDN juga terbuka untuk menerima sebarang kritikan bagi memastikan enam bulan seterusnya nanti kita dapat perbaiki.

“Proses nilai tambah itu saya rasa lebih penting supaya dari segi kelestariannya dapat kita pertahankan. Insya-Allah kita akan adakan pertemuan khas itu pada akhir Jun ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Payung RAHMAH bersama foodpanda Malaysia di sini, semalam.

Mengulas mengenai program hari ini, Salahuddin memuji usaha yang dilaksanakan foodpanda Malaysia dalam menyokong inisiatif kerajaan, dengan meluaskan capaian Menu RAHMAH kepada rakyat Malaysia.

Menurutnya usaha dalam menjadikan menu RAHMAH agar lebih mudah diakses kepada setiap lapisan masyarakat, ia tidak akan berjaya tanpa sokongan dan penyertaan sukarela pengendali restoran dalam sektor swasta.

Pelancaran inisiatif Menu RAHMAH dan Pakej RAHMAH anjuran foodpanda itu menawarkan set hidangan makanan Menu RAHMAH pada harga yang mampu milik iaitu RM5 ke bawah manakala Pakej RAHMAH pandamart menawarkan dua pakej barangan runcit pada harga RM50 dan RM30.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDN Datuk Azman Adam.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif foodpanda Malaysia Sayantan Das berkata pihaknya percaya inisiatif berkenaan turut akan memberi manfaat kepada rangkaian rakan penghantaran berikutan jumlah pesanan dijangka meningkat, sekali gus meningkatkan lagi pendapatan mereka.

“Kami juga ingin meyakinkan rider kami bahawa struktur pembayaran akan tetap sama tidak kira sama ada mereka menghantar item Menu RAHMAH atau sebaliknya. Pendapatan mereka bagi setiap perjalanan tidak akan dikurangkan untuk inisiatif ini,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan