Search
Close this search box.
Malaysia menepati ramalan memenangi pingat emas hoki padang lelaki Sukan SEA 2023 selepas mengatasi Singapura 3-0 pada pertembungan final yang berlangsung dalam cuaca panas dan berangin di padang hoki Stadium Nasionak Morodok Techo, di sini. Foto: Reuters

Sukan SEA: Skuad Hoki lelaki negara tepati ramalan rangkul emas

ByBernama

PHNOM PENH, 16 Mei: Malaysia menepati ramalan memenangi pingat emas hoki padang lelaki Sukan SEA 2023 selepas mengatasi Singapura 3-0 pada pertembungan final yang berlangsung dalam cuaca panas dan berangin di padang hoki Stadium Nasionak Morodok Techo, di sini, hari ini.

Kejayaan tersebut menghadiahkan emas ke-32 buat kontinjen negara pada temasya sukan dwitahunan itu yang bakal menutup tirai secara rasmi, malam esok.

Turun beraksi dalam suhu mencecah 39 darjah Celcius, skuad bimbingan Muhamad Amin Rahim diberikan tentangan sengit Singapura sebelum akhirnya berjaya memecah kebuntuan di awal suku kedua menerusi penyudah pukulan sudut penalti Muhammad Amirul Hamizan Azahar pada minit ke-16.

Anak buah Muhamad Amin terus ditekan Singapura, namun berdisiplin menyerap segala serangan dengan baik sebelum kesilapan pertahanan lawan memberikan peluang buat Malaysia menggandakan kedudukan menerusi penalti strok Muhammad Amirul minit ke-38.

Kelebihan dua gol itu digunakan sebaiknya pasukan negara untuk ‘membunuh’ perlawanan lebih awal selepas menambah jaringan yang ketiga pada minit ke-48, hasil penyudah gol padang  Alfarico Lance Liau Jr sekali gus mengesahkan kemenangan Malaysia.

“Saya puji pemain turun dengan sepenuh hati, main bermati-matian dan dapat sumbangkan emas ke-32 buat kontinjen, itu yang membanggakan saya,” kata Muhamad Amin ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Beliau menambah: “Secara jujur saya sangat yakin dengan pasukan yang dibawa kali ini, walaupun kita turun dengan pasukan remaja kita masih boleh dikatakan kuasa besar di rantau Asia Tenggara, saya tahu keupayaan dimilik pemain dan kekuatan lawan yang bertanding. Jadi saya sangat setuju dan sahut cabaran dibuat untuk hantar skuad remaja,”.

Sementara itu, Muhammad Amirul. yang merupakan pemain senior skuad kebangsaan, berkata kerjasama yang diberikan rakan sepasukan menjadi kunci Malaysia mudah menewaskan Singapura selepas mencatat kemenangan tipis 4-3 pada aksi saingan liga sepusingan sebelum ini.

“Semalam hari rehat dan kita merancang strategi untuk dilakukan dalam padang dan satu pasukan bagi kerjasama yang sangat baik sebab itu perlawanan hari ini nampak mudah.

“Perlawanan sebelum ini kami mahu menang tapi mungkin tidak fokus, jika lihat hari ini kami berikan 100 peratus usaha dan komitmen untuk memenangi emas,” katanya.

Sebagai rekod, Malaysia mencatat kemenangan 100 peratus di sini selepas mengungguli saingan liga sepusingan dengan rekod tanpa kalah untuk mara ke final selaku pendahulu.

Secara keseluruhan, pencapaian hari ini menyaksikan Malaysia meneruskan dominasi dalam acara hoki padang lelaki Sukan SEA lebih lima dekad.

Malaysia, yang merupakan kuasa besar hoki di rantau ini dengan pencapaian cemerlang 16 pingat emas Sukan SEA sejak 1971, melakukan taruhan berani apabila membariskan 14 pemain remaja dan empat pemain senior bagi mengharungi cabaran di Phnom Penh.

Acara hoki padang kembali membuat kumunculan di Sukan SEA selepas enam tahun selepas ia tidak dipertandingkan pada edisi Filipina 2019 dan Vietnam 2021. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan