Search
Close this search box.
Chuan Leong mendedikasikan kejayaan meraih pingat emas pada Sukan SEA kepada negara kerana terhutang budi dengan peluang kedua yang diberikan untuk sekali lagi beraksi di temasya dwitahunan itu. Foto Bernama.

Emas ini untuk negara – Thor

ByBernama

PHNOM PENH, 15 Mei: Atlet snuker negara, Thor Chuan Leong mendedikasikan kejayaan meraih pingat emas pada Sukan SEA 2023 kepada negara kerana terhutang budi dengan peluang kedua yang diberikan untuk sekali lagi beraksi di temasya sukan dwitahunan itu.

Bekas pemain profesional berusia 35 tahun itu berkata selepas mengalami kejatuhan prestasi sebelum ini, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Snuker dan Billiards Malaysia (MSBF) tetap memberi kepercayaan kepadanya untuk sekali lagi membawa pulang kejayaan kepada Malaysia.

Katanya sebelum ini beliau melalui saat sukar ketika beraksi sebagai pemain profesional di United Kingdom (UK) yang menyebabkan prestasinya jatuh mendadak sehingga terpaksa mengambil masa yang lama untuk kembali menemui sentuhan permainan.

“Waktu saya di UK permainan saya memang jatuh teruk, di Asia saya kira kuat (hebat) tetapi main di UK ibarat macam budak kecil.

“Jadi bila saya balik (ke Malaysia), saya mengambil empat hingga lima tahun untuk capai semula permainan saya sebab itu anda semua sudah lama tak dengar nama saya. Sekarang semua sedang bertambah baik,” katanya ketika ditemui, di sini.

Semalam, Chuan Leong yang lebih dikenali sebagai Thor dalam kalangan atlet sukan itu, merangkul pingat emas snuker perseorangan lelaki sekali gus kembali meraih kejayaan dalam acara yang pernah dimenanginya pada edisi 2015 di Singapura.

Kejayaan itu memastikan sasaran dua emas yang ditetapkan MSBF pada temasya ini tercapai.

Thor kini memiliki keseluruhan lima emas Sukan SEA selepas mengungguli acara snuker beregu pada edisi 2011 di Palembang, Indonesia dan 2015 di Singapura selain acara 6-Red perseorangan pada edisi 2013 di Myanmar.

Mengulas lanjut, Thor berazam untuk mendapatkan semula gelaran profesional demi kelangsungan kariernya.

“Memang nak kejar balik gelaran profesional sebab sukan ini di Malaysia, maaf cakap ia kurang popular, maksud saya susah nak cari wang. Jadi perancangan saya selepas ini pergi main kejohanan di Thailand dan sertai Q School pada Jun, kalau boleh masuk final saya dapat jadi profesional semula,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan