Search
Close this search box.
Kontinjen Malaysia berarak dengan berpakaian baju batik sebagai pakaian rasmi pada majlis pembukaan Sukan SEA 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh pada Jumaat minggu lepas. Foto: Bernama.

Sukan SEA: Pencapaian kontinjen negara pada hari keenam mengecewakan

ByBernama

PHNOM PENH, 12 Mei: Pencapaian kontinjen kebangsaan selepas berakhir hari keenam temasya Sukan SEA 2023 mengecewakan selepas hanya meraih tiga pingat emas pada Khamis.

Pungutan tiga pingat emas itu agak membimbangkan apabila kem negara kekal berada di kedudukan ketujuh dengan berbaki enam hari lagi sebelum temasya dwitahunan itu melabuhkan tirai pada 17 Mei ini.

Pada Rabu, kem negara mencatat prestasi membanggakan apabila merangkul enam pingat emas, yang merupakan pencapaian pungutan pingat emas terbaik seharian.

Selepas tamat saingan semalam, Malaysia meraih keseluruhan 24 pingat emas, 31 perak dan 49 gangsa.

Pada aksi hari keenam, kem terjun menepati ramalan apabila menyumbangkan pingat emas pertama negara menerusi Enrique Maccartney Harold dalam acara 10m platform lelaki, sekali gus menyaksikan Malaysia menyapu bersih kesemua empat pingat emas ditawarkan dalam acara itu pada temasya sukan di Kemboja ini.

Dua lagi pingat emas menerusi skuad olahraga apabila jaguh lempar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin berjaya mempertahankan emas di peringkat temasya rantau Asia Tenggara ini, selain atlet lompat kijang Andre Anura Anuar yang mengekalkan statusnya selaku juara bertahan pada temasya kali ini.

Beberapa acara yang diharapkan dapat menghadiahkan pingat emas, bagaimanapun gagal dicapai antaranya ping pong dan badminton.

Skuad ping pong wanita yang membuat kejutan mara ke pentas final selepas 30 tahun, gagal melakar sejarah meraih pingat emas pertama dalam acara berpasukan pada temasya dwitahunan itu apabila tumpas kepada Thailand 0-3 pada perlawanan akhir.

Kem badminton turut menerima nasib yang sama apabila tewas 1-3 kepada musuh tradisi, Indonesia dalam final berpasukan lelaki.

Selepas berakhir saingan semalam, kedudukan tiga teratas dalam carta pungutan pingat kekal dengan Vietnam mendahului setelah meraih 57 pingat emas, 56 perak dan 70 gangsa, diikuti tuan rumah Kemboja 56-44-55 manakala Thailand di tempat ketiga dengan kutipan 54-39-58. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan