Search
Close this search box.
Ally memenangi dua pingat gangsa bagi acara berpasukan dan individu. Mohd Nurul Zaiman Mansor

(VIDEO) Gimnas Sarawak raih dua pingat pada penampilan pertama di Sukan SEA

ByNurul Amarlina

KUCHING, 10 Mei: Tiada kata dapat diungkapkan oleh gimnas muda negara, Ally Hamuda Abdullah selain bersyukur kerana berjaya membawa pulang dua pingat pada penampilan pertamanya di pentas Sukan SEA.

Gimnas berasal dari Sarawak itu berkata, ketika ini dia merupakan ‘insan paling gembira di dunia’ kerana mampu memberikan cabaran sengit kepada gimnas berpengalaman lain di Asia Tenggara pada temasya dwitahunan itu di Kemboja.

Kata Ally, sasarannya sebelum Sukan SEA hanyalah untuk acara berkumpulan.

“Namun tuah menyebelahi saya apabila meraih tempat ketiga dalam acara men’s still rings,” katanya kepada TVS hari ini.

Menerusi acara itu, Ally yang juga juara Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lepas mengumpul 13 mata.

Emas dimenangi wakil Vietnam, Van Khanh Phong yang memungut 14.2 mata manakala atlet Filipina, Carlos Edriel Yulo membawa pulang pingat perak.

Ally kemudian bergandingan dengan Luqman Al Hafiz Zulfa, Muhammad Shahrul Aimy, Muhammad Syakir AIman Subto, dan Ng Chun Chen meraih pingat gangsa acara berpasukan lelaki.

Baca artikel berkaitan:

  1. 1. Kejayaan saya kerana ibu, kata Ally Hamuda
  2. 2. SUKMA : Ally Hamuda Abdullah menang emas gimnastik artistik

Ditanya tentang kesukaran berdepan Sukan SEA, pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berkata, setiap kejohanan yang disertai memerlukan persiapan teliti.

“Persiapan saya setanding dengan gimnas yang sertai Sukan Olimpik walaupun temasya di Kemboja hanya disertai oleh atlet dari negara jiran sahaja.

“Apabila layak ke pusingan akhir, saya berazam untuk memberikan aksi terbaik dan Alhamdulillah berjaya menang pingat,” katanya.

Mengenai kejohanan seterusnya, atlet berketurunan Bidayuh ini memberitahu, dia akan memberi tumpuan untuk menyertai Kejohanan ASEAN di Singapura pada hujung Jun.

“Selain itu, saya juga akan menyertai Sukan Asia di China,” katanya.

Memandangkan Sukan Asia akan disertai gimnas terbaik dunia dari Jepun, China dan Kazakstan, Ally memberitahu, dia akan meningkatkan tahap kesukaran dalam rutin persembahannya.

“Jurulatih saya sudah merangka rutin yang mempunyai kesukaran bertaraf dunia dengan harapan saya dapat melaksanakannya dalam masa sebulan,” katanya lagi.

Kepada soalan bila dia akan pulang ke Sarawak bagi meraikan kejayaannya, Ally memberitahu, berikutan jadual padat, dia mungkin hanya berpeluang balik kampung pada hujung tahun ini.

“Kemenangan ini saya hadiahkan kepada ibu, Nabilah Abdullah dan keluarga serta kepada  semua rakyat Malaysia yang selalu memberi sokongan padu kepada atlet-atlet Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang akan berlangsung di Sarawak, Ally berharap akan lebih banyak kategori dipertandingkan bagi gimnastik.

“Gimnastik mempunyai banyak acara.

“Malaysia belum mempunyai pasukan trampolin, akrobatik dan aerobik, jadi saya harap penganjur dapat perkenalkan acara itu,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan