Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Projek Skim Pembesaran Kampung merangkumi Kampung Tengah, Kampung Lemang Pek dan Pangtray di Daro sedang giat dilaksanakan. Foto: TVS

Lebih 500 lot kediaman disediakan menerusi Skim Pembesaran Kampung di Daro

DARO, 8 Mei: Komitmen kerajaan Sarawak dalam menyediakan keselesaan rakyat terus terserlah melalui kelulusan satu lagi Skim Pembesaran Kampung (SPK) baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, skim berkenaan yang merangkumi Kampung Tengah, Kampung Lemang Pek dan Pangtray itu akan dibina dalam dua fasa.

Menurutnya, fasa pertama bakal menyediakan 120 lot kediaman, manakala fasa kedua pula membabitkan 416 lot kediaman.

“Meskipun kelulusan SPK ini dibuat di bawah spesifikasi lama, tetapi saya mewakili masyarakat di kawasan ini telah mengemukakan permohonan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg supaya pembinaan SPK di bawah fasa satu ini dinaik taraf infrastruktur asasnya mengikut spesifikasi yang baharu.

“Kita bersyukur, Abang Jo telah meluluskan peruntukan di bawah projek rakyat sebanyak RM16 juta untuk menaik taraf infrastruktur asas dengan lot kediaman akan ditembok dan jalan raya akan ditar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kemudahan asas lain khususnya bekalan elektrik dan air juga akan disediakan sebaik sahaja pemilik lot telah menyediakan kediaman rumah mereka di samping boleh memohon penyambungan meter daripada agensi yang berkaitan.

Dalam usaha membantu rakyat memiliki rumah yang selesa katanya, kerajaan juga menyediakan bantuan khas kepada pemilik lot yang telah membina rumah.

“Mereka boleh mengemukakan permohonan kepada kerajaan melalui Jabatan Tanah dan Survei agar surat milik tanah tersebut dikeluarkan dan kerajaan telah menetapkan bayaran yang begitu rendah, tidak melebihi RM2,500 untuk satu lot,” katanya lagi.

Safiee menambah, bagi tujuan pembinaan SPK itu, kerajaan juga telah menyediakan sebidang tanah yang cukup luas iaitu 60.9 ekar bagi fasa satu manakala, 80.2 ekar bagi fasa dua dengan keluasan keseluruhan 141.1 ekar.

“Kerja-kerja pembinaan untuk fasa satu telah pun bermula pada 15 Mac lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 14 November tahun depan, dan selepas kerja pembinaan infrastruktur asas ini selesai, barulah lot di bawah fasa satu ini akan diperuntukkan kepada pemohon yang berjaya,” ujarnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan