Search
Close this search box.
Sesi Pelancaran Sistem Pengimejan Pembedahan O-Arm di Borneo Medical Centre (BMC) Miri hari ini disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian. Foto: TVS

Sarawak pelawa sektor kesihatan swasta bantu rawatan jantung, kanser – Dr Sim

Miri, 6 Mei: Kerajaan Sarawak mengalu-alukan kerjasama hospital swasta untuk menyediakan perkhidmatan rawatan jantung dan kanser untuk rakyat sementara kerajaan membangunkan pusat satelit kanser dan jantung di Kuching dan di bandar raya ini, kata Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.

Beliau mendedahkan projek pembinaan dua projek mega itu kini berdepan dengan beberapa cabaran seperti geografi, jarak dan populasi yang telah mengehadkan usaha kerajaan untuk melaksanakannya dalam masa terdekat selain isu tenaga kerja yang diperlukan.

“Dari segi penjagaan kesihatan, kerjasama pihak awam dan swasta adalah penting. Kita telah mengenal pasti melalui Jabatan Kesihatan Sarawak bahawa Miri memerlukan pusat jantung satelit.

“Namun sementara kerajaan menyediakan prosedur dan rancangan besar, Borneo Medical Centre (BMC) telah bergerak ke hadapan dalam kemudahan mereka (pesakit) di sini.

“Ini kerana adalah tidak realistik bagi kerajaan untuk memulakan setiap bandar untuk pusat jantung, pusat kanser dan sebagainya. Kita cuba yang terbaik, tetapi keadaan geografi, jarak dan populasi kita mengehadkan usaha itu.

“Untuk memulakan pusat satelit kanser dan pusat satelit jantung bukan hanya memerlukan wang, malah memerlukan tenaga kerja serta pasukan jururawat dan doktor,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Majlis Pelancaran Sistem Pengimejan Pembedahan O-Arm di Borneo Medical Centre (BMC) Miri di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mendedahkan selepas ini pihak swasta dan kerajaan akan melakukan perbincangan mengenai autonomi kesihatan Sarawak berdasarkan tiga tunjang dengan Jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) iaitu kewangan, infrastruktur serta peralatan dan sumber manusia.

Dedah Dr. Sim, pihak kementerian beliau juga telah mendapatkan sokongan dan akan bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menubuhkan pusat satelit kanser dan jantung di Sarawak pada masa akan datang.

Sementara majlis hari ini menyaksikan pelancaran Sistem Pengimejan Pembedahan O-Arm merupakan yang pertama di daerah Miri dan kedua bagi seluruh Sarawak dan Malaysia.

Difahamkan peralatan ini digunakan sebagai platform pengimejan pembedahan pelbagai dimensi untuk pembedahan tulang belakang, ortopedik, trauma dan saraf. – TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan