Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Fisol Salleh menunjukkan gambar lima bomoh warga China yang disyaki menipu lima mangsa pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di George Town, hari ini. Foto: TVS

Bomoh halau hantu dari China diberkas, tipu lima wanita warga emas

ByTVS

GEORGE TOWN, 2 Mei: Polis menumpaskan satu sindiket penipuan yang didalangi warga China kononnya bomoh untuk menghalau hantu selepas menahan seorang lelaki dan empat wanita baru-baru ini yang membabitkan kerugian RM124,400.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata suspek berusia 40 hingga 50 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 27 April lalu ketika mahu melarikan diri ke China selepas menipu lima mangsa di negeri ini.

Datuk Fisol Salleh menunjukkan barang rampasan daripada suspek bomoh warga China yang menipu lima mangsa. Foto: TVS

Menurutnya, suspek menawarkan perkhidmatan perubatan dan menghalau hantu kepada mangsa yang ditemui di pasar-pasar awam.

Ujarnya, mereka menyasarkan wanita warga emas yang naif agar menyerahkan barang berharga milik mereka.

“Suspek mendekati mangsa dan memaklumkan kononnya mangsa ada gangguan hantu.

“Sindiket menawarkan ubat untuk merawat penyakit kronik dan memberi nombor telefon kepada mangsa untuk dihubungi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Sebahagian barang kemas yang diserahkan mangsa kepada suspek bomoh warga China. Foto: TVS

Ujar beliau, mangsa yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut diberikan syarat agar menyerahkan kesemua wang dan barang kemas dalam bentuk bungkusan.

“Barang itu akan diserahkan semula selepas upacara menghalau hantu selesai, namun hanya boleh dibuka selepas seminggu atau sebulan.

“Mangsa menyedari ditipu selepas membuka bungkusan dan mendapati barang kemas telah ditukar dengan bongkah batu dan botol air mineral,” katanya lagi.

Bongkah batu yang ditukar dengan barang berharga oleh suspek bomoh warga China. Foto: TVS

Fisol berkata, suspek dipercayai bergiat aktif sejak Januari lalu.

Hasil operasi, polis merampas sembilan unit telefon bimbit, lima beg bagasi, sejumlah barang kemas berwarna keemasan, 11 utas jam tangan pelbagai jenama dan sejumlah wang tunai matawang China Yuan bernilai RM60,853.45.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan