Search
Close this search box.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PH, BN, GPS dan GRS telah menyatakan komitmen untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan. Foto fail (Bernama)

Gabungan empat parti politik dalam Kerajaan Perpaduan kuat – Anwar

ByBernama

PUTRAJAYA, 1 Mei: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata gabungan empat parti politik utama dalam Kerajaan Perpaduan adalah cukup kuat dan berupaya untuk menangkis komplot menjatuhkan kerajaan.

Mengesahkan wujudnya komplot untuk menjatuhkan kerajaan, Anwar berkata Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menyatakan komitmen untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan.

“Komplot itu ada tetapi tidak ada asas, kita tumpu kerja… tiap bulan ada strategi (jatuhkan kerajaan). Insya-Allah setakat kita pantau, keadaan (kerajaan) cukup kuat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Pekerja 2023 bertemakan Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia MADANI di sini hari ini.

Sebelum ini, portal berita melaporkan dakwaan terdapat percubaan untuk menggulingkan Kerajaan Perpaduan oleh gerakan yang disertai beberapa Ahli Parlimen.

Empat gabungan politik utama –  PH, BN, GPS, GRS dan parti Warisan – yang membentuk Kerajaan Perpaduan telah menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama pada 16 Dis 2022 bagi menjamin kestabilan politik serta memacu ekonomi negara.

Mengenai isu pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Anwar berkata setiap individu mempunyai hak untuk mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pengampunan.

“Kami telah mempertimbangkan, seperti setiap kali saya katakan, orang yang disabitkan kesalahan atau banduan mempunyai hak untuk merayu.

“Kita perlu mempertimbangkan kes tersebut dan menilai dengan penuh belas kasihan, secara profesional tanpa prejudis,” katanya.

Mengenai cadangan untuk menaikkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata cadangan tersebut ada dikemukakan kepadanya namun ia belum dirujuk kepada Jemaah Menteri.

“Kita akan bincang dulu, ini keputusan dasar, ia ada beri kesan kepada kerajaan dan majikan,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa kerajaan untuk menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan daripada 13 peratus kepada 20 peratus. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan