Search
Close this search box.
Asap mengepul dari pesawat yang terbakar di dalam Bandara Khartoum selama bentrokan antara Pasukan Dukungan Cepat paramiliter dan tentara di Khartoum, Sudan 17 April 2023. Foto: Rueters

Konflik Sudan: Beberapa negara mula bawa keluar rakyat masing-masing

ByBernama

KAHERAH, 24 April: Beberapa negara telah mula memindahkan rakyat mereka dari Sudan ketika pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) masih berlarutan di Khartoum dan beberapa bandar berdekatan.

Menurut Kementerian Kesihatan Sudan, pertempuran itu setakat ini telah menyebabkan sekurang-kurangnya 424 orang terbunuh dan kira-kira 3,730 cedera.

Pihak berkuasa Mesir pada Ahad memindahkan 436 rakyatnya dari Sudan dengan menggunakan laluan darat, menurut  Kementerian Luar Mesir.

Misi diplomatik Mesir di Khartoum, Pelabuhan Sudan dan Wadi Halfa akan terus berkoordinasi dengan warga Mesir di Sudan untuk memastikan proses pemindahan mereka berjalan lancar, lapor Xinhua.

Setakat ini, kira-kira lebih 10,000 rakyat Mesir dilaporkan berada di Sudan.

Sejak bermulanya konflik di Sudan pada 15 April lalu, syarikat penerbangan Mesir EgyptAir telah menangguhkan penerbangan keluar dan masuk dari Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum.

Sementara itu, Kementerian Luar TUNISIA mengumumkan pada Ahad, pemindahan rakyatnya dari  Khartoum akan bermula pada Isnin.

Di ACCRA, menurut Kementerian Luar Ghana, persiapan sedang diatur untuk memindahkan warga Ghana yang terkandas di Sudan.

“Sebilangan warga Ghana, khususnya pelajar telah terjejas akibat konflik itu. Namun kesemua mereka dilaporkan selamat,” menurut kenyataan itu.

Di ROM, Menteri Luar Itali Antonio Tajani berkata orang awam dan diplomat Itali yang mahu meninggalkan Sudan sudah pun dibawa keluar dari Khartoum menuju ke Djibouti, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Saya bangga dengan kerja berpasukan yang membawa kepada kejayaan operasi pemindahan yang rumit itu,” tulis Tajani di Twitter.

Tajani sebelum ini mengumumkan pemindahan kira-kira 200 orang awam dan kakitangan kedutaan termasuk rakyat Switzerland, pekerja kedutaan Vatican dan kira-kira 20 lagi warga Eropah.

Sementara itu, kerajaan SEPANYOL juga sudah memindahkan rakyat dan diplomatnya, kata Menteri Luar José Manuel Albares.

“Kami mengulangi gesaan untuk gencatan senjata dan menyambung semula dialog di Sudan,” katanya di Twitter.

Menteri Pertahanan Margarita Robles sebelum ini berkata bahawa Sepanyol merancang untuk menempatkan sejumlah enam pesawat sebagai sebahagian daripada operasi pemindahan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan