Search
Close this search box.
Antara barang rampasan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel. Foto: IPD Kota Kinabalu

Polis berkas pencuri dan penjual kabel syarikat telekomunikasi

KOTA KINABALU, 16 April: Polis menangkap empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti mencuri dan menjual kabel syarikat telekomunikasi dan merampas barang curi bernilai lebih kurang RM51,500 dalam operasi pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata, tangkapan dibuat susulan dua laporan yang telah dibuat oleh syarikat telekomunikasi pada 13 dan 14 April.

“Laporan melibatkan kecurian kabel yang berlaku di Jalan Kebajikan dan Jalan Rampayan, Manggatal, milik syarikat terbabit.

Antara barang rampasan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel. Foto : IPD Kota Kinabalu

“Hasil daripada maklumat yang diperoleh, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah melancarkan beberapa siri serbuan pada 5 pagi, Jumaat di kawasan penempatan Telipok dan Manggatal.

“Dalam serbuan tersebut, polis menangkap dua lelaki warganegara tempatan berumur dalam lingkungan 30-an dipercayai pencuri kabel serta merampas kabel silver dan tembaga yang telah dibakar untuk tujuan dijual bagi mendapatkan wang,” katanya.

Menurut Mohd Zaidi, hasil pengakuan dan pendedahan kedua-dua suspek telah membawa pihak polis ke tempat pembeli hasil kabel curi tersebut di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan penempatan Telipok.

“Seorang lelaki warganegara Filipina yang merupakan pekerja premis yang menjual hasil kabel dan tembaga curi telah ditangkap.

“Pada jam 12 tengah hari yang sama, polis menangkap seorang lagi lelaki warganegara Filipina di kawasan semak berhampiran Jalan Kebajikan yang dipercayai terlibat dalam kes curi kabel tersebut, manakala seorang lagi rakan sejenayahnya telah berjaya melarikan diri.

“Turut dirampas beberapa gulung kabel yang telah dipotong serta beberapa peralatan yang digunakan oleh suspek untuk melakukan kegiatan mencuri kabel,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, dengan tertangkapnya keempat-empat suspek, pihak polis percaya kes kecurian kabel yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini telah berjaya dibendung dan menjurus kepada penyelesaian kes khususnya bagi daerah ini.

“Polis Kota Kinabalu menggesa orang ramai dan masyarakat untuk terus membantu pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan kecurian kabel agar penjenayah yang terlibat dapat diberkas dengan segera.

“Dalam menguatkuasakan undang-undang, pihak polis bertegas untuk tidak berkompromi dengan sesiapa yang terlibat dalam jenayah ini terutamanya pemilik dan pengusaha premis-premis besi buruk yang melanggar undang-undang dan bersekongkol dengan penjenayah dengan membeli kabel yang dicuri untuk mengaut keuntungan, kerana kabel tersebut merupakan barang kawalan,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan