Search
Close this search box.
Azdy bersama penguatkuasa KPDN dan Jabatan Veterinar semasa Operasi Bersepadu di Pasar Umum Sandakan. Foto: TVS

KPDN Sandakan adakan pertemuan dengan peniaga dan pemborong ayam

ByTVS

SANDAKAN, 11 April: Satu pertemuan bersama peniaga dan pemborong ayam mentah di Sandakan akan diadakan dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, ia bagi membincangkan isu berkaitan bekalan dan harga bahan mentah itu.

Katanya, tindakan itu adalah susulan aduan yang diterima pihaknya hampir setiap minggu berhubung kenaikan harga ayam mentah dan telur di pasaran.

“Dalam operasi bersepadu ini, kita dapat melihat situasi peniaga yang cuba untuk mengaut keuntungan lebih dengan mengurangkan penjualan ayam bulat dan melebihkan jualan ayam yang dipotong mengikut bahagian seperti dada dan paha.

“Ini kerana harga ayam bulat dikawal manakala tidak bagi ayam yang dipotong mengikut bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Operasi Bersepadu Bersama Jabatan Veterinar Sandakan di Pasar Umum Sandakan di sini hari ini.

Menurut Azdy Zukkry, operasi bersepadu bersama jabatan berkaitan itu adalah langkah proaktif bagi menunjukkan mereka serius dalam menangani isu kenaikan harga bahan mentah.

“Dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Veterinar Sandakan, kita telah memeriksa 15 premis di dua pasar iaitu Pasar Umum Sandakan dan Pasar Sibuga Batu 8.

“Daripada pemeriksaan yang dibuat, satu tindakan kes melibatkan peniaga yang tidak memaparkan tanda harga barangan telah diambil dan dikenakan kompaun,” jelasnya.

Sementara itu, Azdy memberitahu tiada isu kekurangan ayam dan telur di Sandakan sebaliknya bekalan adalah mencukupi dan mampu menampung keperluan pengguna pada musim perayaan ini.

Untuk rekod, ketika ini Sandakan mampu membekalkan 2,000 ekor ayam dan 5,400 kotak telur sehari kepada lebih 150 peniaga melibatkan peruncit, kedai makan dan pasaraya. –TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan