Search
Close this search box.
Dr Abdul Rahman menyerahkan bantuan kepada mangsa kebakaran. Foto: TVS

Mohon bantuan SDMC bina kediaman mangsa kebakaran di Kampung Limpaong – Dr Abdul Rahman

LIMBANG, 7 April: Permohonan untuk membina semula kediaman empat keluarga yang ranap dalam kebakaran di Kampung Limpaong di sini pada Selasa lalu akan diusulkan kepada Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak (SDMC).

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Pejabat Daerah Limbang berhubung hasrat terbabit sebagai inisiatif  meringankan beban mereka.

“Saya telahpun meminta Pegawai Daerah untuk mengenal pasti bagaimana kita hendak membantu mangsa membangunkan semula rumah mereka melalui SDMC memandangkan mereka ada peruntukan untuk membantu mangsa-mangsa bencana seperti banjir, kebakaran dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat mangsa kebakaran terbabit di Kampung Limpaong pada Khamis.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata lagi, ia termasuk mendapatkan bantuan dan peruntukan daripada SDMC untuk membantu mangsa musibah yang telah kehilangan kediaman dan harta benda.

Hadir sama, isteri Dr Abdul Rahman yang mewakili Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI), ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang, Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL), Kaunselor Sufian Mohat dan Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan.

Pada masa sama katanya, pelbagai bantuan juga disalurkan oleh pelbagai jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan, swasta dan badan sukarela di daerah ini telah membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa kebakaran terbabit.

“Jabatan Kebajikan telahpun memberi bantuan seperti makanan, pakaian dan juga kelengkapan untuk tidur seperti tilam bantal dan sebagainya serta bantuan peralatan membina rumah baharu.

“Tabung Baitulmal juga telah menghulurkan bantuan dari segi wang ringgit mengikut bilangan keluarga, begitu juga dengan persatuan-persatuan termasuk Persatuan Melayu Limbang, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Patiambun dan Persatuan Bulan Sabit Merah,”ujarnya.

Dr Abdul Rahman turut bermurah hati menyerahkan sumbangan peribadi, selain sumbangan daripada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Kota, SABATI, Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Negeri Sarawak dan pihak lain.

Dalam pada itu, beliau turut bersimpati terhadap musibah yang menimpa mangsa kebakaran dan berharap mereka tabah dan bersabar khususnya menjelang 1 Syawal tidak lama lagi.

Pada Selasa lalu, 11 penghuni di Kampung Limpaong tinggal sehelai sepinggang selepas dua kediaman mereka dijilat api dalam kejadian yang berlaku jam 1.26 pagi.

Dalam insiden itu salah seorang mangsa melecur di bahagian leher.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan