Search
Close this search box.
Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Dato Gerald Rentap Jabu dan Dr Richard Rapu pada Majlis Angkat Sumpah Ahli-ahli MDB di Betong, hari ini. Foto: Pejabat Timbalan Premier Sarawak

Sistem pengurusan sisa yang teratur diperlukan di kawasan luar bandar – Uggah

ByRegina Lee

BETONG, 6 April: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mencadangkan agar teknologi yang lebih moden digunakan bagi menguruskan sampah di kawasan luar bandar di negeri ini dengan baik.

Katanya, semua pihak tidak boleh terus bergantung dengan kaedah melupus sampah konvensional kerana ia boleh menjejaskan alam sekitar dalam jangka masa panjang di kawasan luar bandar seperti pekan, kampung serta rumah panjang.

Ini kerana sistem pengurusan sisa sedia ada akan dihantar ke tapak pelupusan sampah berkenaan.

“Kaedah sebegini semakin ketinggalan zaman. Sudah tiba masanya kita melihat teknologi yang lebih relevan untuk melupus sampah dengan betul, terutamanya yang tidak dapat kita kitar semula.

“Yang boleh kita kitar semula, kita boleh hantar kepada syarikat kitar semula,” ujarnya selepas menyaksikan majlis angkat sumpah 33 Ahli-ahli Majlis Daerah Betong (MDB) yang diketuai pengerusinya Alfred Galing Ason di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu, Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu dan Residen Betong Richard Micheal Abunawas.

Pada masa sama, beliau berkata dengan adanya kemudahan yang teratur, MDB juga boleh berkongsi sumber dengan pihak berkuasa tempatan lain berdekatan.

“Kita boleh bincang apa-apa cadangan dan dapatkan bantuan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Uggah turut menggesa Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan memperuntukkan lebih banyak dana bagi pengurusan sisa di kawasan luar bandar.

“Masih ada kampung dan rumah panjang yang belum disediakan perkhidmatan mengutip sampah oleh pihak berkuasa tempatan.

“Sesetengah orang membuang sampah ke sungai tanpa memikirkan soal alam sekitar atau kebersihan. Ini sangat sedih, kita tidak boleh biarkan perkara ini berlanjutan,” katanya.

Beliau turut menyeru ahli-ahli Majlis Daerah Betong untuk bekerja sebagai satu pasukan yang padu dalam usaha menjadikan Betong sebagai majlis terbersih di negeri ini tidak lama lagi.

“Isu kebersihan dan alam sekitar adalah perkara biasa yang mendapat rungutan daripada rakyat sekarang. Jadi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk meneliti dan menyelesaikan aduan mereka,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan