Search
Close this search box.
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden Republik Rakyat China Xi Jinping di Beijing, baru-baru ini. Foto fail: Anwar Ibrahim (FB)

Syarikat terkemuka China setuju jadikan Malaysia hab serantau – PM Anwar

ByBernama

PUTRAJAYA, 3 April: Beberapa syarikat terkemuka dari China telah bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini, Anwar berkata perincian mengenai perkara itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Selalunya hab serantau mereka adalah di negara-negara lain (negara jiran), tapi ini kali pertama beberapa syarikat memilih untuk menjadikan (Malaysia) sebagai hab serantau mereka,” katanya yang kembali ke Malaysia semalam selepas mengadakan lawatan rasmi ke China.

Anwar dalam pada itu berkata beliau telah mengusulkan kepada syarikat-syarikat terkemuka China untuk mengutamakan pengambilan pekerja tempatan yang berkelayakan untuk operasi mereka di negara ini.

Menurutnya, syarikat China yang beroperasi di negara ini kadang-kadang membawa keseluruhan pekerja  dari negara mereka (China).

Bagaimanapun,  Anwar berkata kerajaan bersedia meluluskan permohonan untuk mengambil pekerja dari China dengan segera namun syarikat terbabit perlu membuktikan usaha mengambil pekerja tempatan yang diperlukan tidak berjaya.

Selain itu, turut diusulkan ialah program latihan kursus dalam syarikat seperti Proton Holdings Bhd dengan tujuan memberi keutamaan kepada pemilihan anak tempatan dalam syarikat, sebelum ruang dibuka kepada profesional dari China.

Sempena lawatan rasmi Perdana Menteri selama empat hari ke China, Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi bernilai RM170 bilion, hasil daripada pemeteraian 19 memorandum persefahaman (MoU) antara perniagaan di China dan Malaysia dalam pelbagai bidang terutamanya teknologi hijau dan ekonomi digital.

China telah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009. Pada 2022, jumlah perdagangan dua hala bernilai RM487.13 bilion (US$110.62 bilion), meningkat 15.6 peratus daripada 2021. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan