Search
Close this search box.
Detik terindah bagi Aveen apabila dianugerahkan Inspiring Model. Foto: Rani Narayanasamy

ASD dan ADHD tidak halang Aveen berjaya dalam bidang seni

ByIzzah Kamilah Yunus

KUCHING, 3 April: Menghidapi gangguan neuro yang mampu menjejaskan perkembangan memberi perhatian dan sikap seperti Sindrom Aesperger (ASD) dan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) bukan penghalang bagi seorang anak muda berjaya dalam bidang seni.

Thasraveen Chandra Segaran atau lebih dikenali sebagai Aveen, 22, merupakan seorang model, pelakon dan pelukis yang berasal dari Miri, Sarawak, berbangsa Bidayuh-India.

Didiagnos ADHD seawal tiga tahun manakala ASD pada usia 12 tahun, Aveen mengakui sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran seperti sukar menumpukan perhatian dan bersaing dengan pelajar aliran perdana ketika di bangku sekolah.

Terapi seni ialah rawatan yang berbeza untuk autisme dan boleh menjadi aktiviti yang meringankan, membantu mengurangkan beberapa simptomnya, menyediakan saluran untuk ekspresi diri dan menggalakkan interaksi sosial dalam persekitaran yang menyeronokkan.

Menurut ibunya Rani Narayanasamy, Aveen seorang yang gemar melukis dan melakar sejak kecil dan difahamkan mempunyai artistik yang tersendiri.

“Ketupat secara umumnya bewarna hijau tetapi Aveen akan mewarnakan ketupat tersebut menjadi warna yang lain seperti merah atau kuning.

“Aveen semasa zaman kanak-kanaknya sering menggunakan lukisan untuk berkomunikasi sehinggalah Aveen boleh bertutur,” katanya kepada TVS.

Walaupun dalam usia muda, Aveen telahpun menjadi seorang artis yang berbakat dan berkemahiran di mana pada tahun 2017, lukisan Aveen yang ditransformasikan kepada tudung berjaya meraih perhatian dan menjana pendapatan.

Tahun 2018 juga merupakan antara tahun kejayaan Aveen dalam bidang seni dan fesyen apabila lukisan beliau ditransformasikan kepada pakaian di bawah naungan Autism Rules Fashion dimiliki pereka fesyen Jay K dan semenjak itu, pakaian dari hasil lukisan beliau diperagakan di beberapa pertunjukan fesyen.

Selain itu, beberapa lukisannya pernah dipaparkan Pameran Seni Able di Universiti Malaya (2019), Minggu Fesyen Kota Kinabalu (2018) , Pameran Seni Cantik Malaysia Galeri Percolator Brisbane (2020) dan Unity Art Exhibition yang dirasmikan oleh Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang pada Februari lalu.

Tahun 2020 pula merupakan permulaan bagi Aveen terlibat dalam bidang lakonan di mana Aveen bermula dalam bidang iklan dan seterusnya kepada bidang drama dan telemovie.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), saya mendapat tawaran untuk berlakon dalam iklan kesedaran kesihatan mental oleh Suria KLCC.

“Setelah iklan tersebut dipaparkan di media sosial dan iklan di Suria KLCC, ramai yang mula mengenali dan menyokong saya,” katanya.

Selain dari iklan bersama KLCC, Aveen juga pernah terlibat dalam drama Biar Mereka Cemburu, Shah Alam 40,000 dan telemovie, Kain Kapan Berbisik dan Ms Shopaholic.

Ujar Aveen, dia dan ibunya tidak putus menerima panggilan daripada agensi pencarian bakat dalam bidang peragawan dan lakonan namun begitu terpaksa menolaknya apabila bertentangan dengan jadual kuliahnya seperti penggambaran filem Hong Kong di Malaysia.

“Sejujurnya saya dapat banyak tawaran bukan sahaja dari segi lakonan dan peragaan, tetapi dalam pameran lukisan juga.

“Saya hanya akan menerima apabila saya mempunyai masa yang lapang seperti tidak mengganggu waktu kuliah saya. Saya masih lagi menuntut di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT),” katanya lagi.

Selain aktif dalam bidang seni dan fesyen, pelukis tampan ini juga meluangkan masa lapangnya dengan menganjurkan kelas seni untuk kanak-kanak golongan istimewa yang tidak berkemampuan.

Walaupun tidak ditaja, hati murni Aveen menggunakan wang dari bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membeli bahan lukisan untuk mengajar kanak-kanak tersebut yang mereka juga boleh membawanya pulang ke rumah.

Dalam pada itu Aveen berharap masyarakat tidak skeptikal terhadap golongan kurang upaya dan terus memberi sokongan dan dorongan kepada golongan ASD dan ADHD.

Aveen turut mengingatkan kepada mereka yang mempunyai autisme agar tidak mudah putus asa dan terus membuktikan kemampuan masing-masing untuk bersama dengan komuniti.

Jejaka tampan dengan ketinggian 185 sentimeter ini pernah mencipta sejarah dengan menjadi satu-satunya model autisme dan dianugerahkan gelaran Inspiring Model dalam I Am Model Search 2021. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan