Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Fadillah Yusoff ketika ditemui media selepas Program Agihan Bubur Kacang Hijau di Surau Al- Hidayah Taman Sejoli, di sini, hari ini. Fiqri Razak (TVS)

KPK mengalu-alukan kemasukan UK dalam CPTPP

ByAkma Salleh

KUCHING, 2 April: Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia (KPK) mengalu-alukan kemasukan United Kingdom (UK) ke dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang dianggap sebagai peluang terbaik dalam memperkukuhkan hubungan sedia ada Malaysia dengan UK sebagai rakan dagangan utama rantau Indo-Pasifik.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, KPK dalam masa sama mengalu-alukan kenyataan Setiausaha Perdagangan UK, Kemi Badenoch yang menangkis idea penyahhutanan dalam sektor sawit dan mengakui bahawa produk-produk sawit adalah baik untuk kegunaan harian.

“Kita sambut baik segala perundingan dan kerajaan turut mengalu-alukan pihak UK serta apa yang disuarakan oleh Setiausaha mereka berhubung sektor sawit.

“Minyak sawit sekarang digunakan secara meluas dan boleh bersaing dengan mana-mana keluaran minyak lain. Jadi kita alu-alukan untuk bekerjasama dengan UK dalam bidang komoditi ini,” katanya kepada media selepas Program Agihan Bubur Kacang Hijau di Surau Al- Hidayah Taman Sejoli di sini, hari ini.

Sebanyak 350 penduduk melibatkan enam taman di situ telah menerima agihan bubur tersebut sempena bulan Ramadan.

Ketika ditanya sama ada penyertaan UK ke CPTPP mempunyai kaitan dengan sekatan minyak sawit dan produk berasaskan sawit yang dikenakan Kesatuan Eropah (EU), Fadillah berkata, ia adalah perkara yang berbeza.

“Ini kerana UK bukan lagi sebahagian daripada EU, jadi kita harap mereka akan memahami segala usaha yang kita laksanakan termasuklah kemampanan produk minyak sawit dan produk hutan kita,” katanya.

Dalam masa sama, Fadillah juga mendukung kepentingan menjaga alam sekitar dan memelihara biodiversiti serta komited untuk menjadikan Malaysia sebagai Sektor Minyak Sawit Mampan yang mesra alam sekitar.

“Ia merupakan satu amalan yang baik dalam sektor pertanian dan memastikan kelestarian ini sebagai sesuatu yang kita perjuangkan,” tambahnya lagi.- TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan