Search
Close this search box.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. Foto: TVS

‘Posa Majais harus bertanggungjawab’, Abdul Karim nafi sekat peruntukan

ByLuqman Muhammad

KUCHING, 30 Mac: Presiden Sarawak United FC Dato Posa Majais diminta bertanggungjawab sepenuhnya akibat gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dan barisan kejurulatihan.

Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, majikan perlu mengukur kemampuan kewangan sebelum melantik pemain dengan gaji yang tinggi untuk bersama sesebuah pasukan bola sepak.

“Kalau kita mengambil seseorang untuk bekerja dengan kita, kita mesti bersiap sedia dengan tanggungan tersebut.

“Ini menjadi tanggungjawab mereka dan kalau mereka sudah menandatangani (dokumen gaji) pemain dengan jumlah tertentu, majikan perlu membayar jumlah tersebut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. Beliau mengulas mengenai kenyataan Posa semalam.

Mengulas mengenai dakwaan Posa Majais berhubung isu kementerian tersebut menyekat peruntukan terhadap Sarawak United FC, Abdul Karim menafikan perkara itu dan menyifatkan ia sebagai tuduhan tidak berasas.

Jelasnya, Kerajaan Sarawak hanya akan bertanggungjawab dengan persatuan yang berdaftar dengan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) seperti Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Baca artikel berkaitan:

  1. 1. ‘Takkan saya nak jual tanah bapak saya’ – Posa Majais
  2. 2. Bekas pemain buntu, Sarawak United masih gagal lunas tunggakan gaji
  3. 3. Liga M3: Sarawak United ‘dikuliahkan’ Malaysia University
  4. 4. Liga M3: Sarawak United terus dirundung malang

Menurutnya lagi, Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah lama mengubah sistem liga bola sepak negara dan tiada keperluan bagi sesebuah pasukan itu terlibat dengan kerajaan negeri lagi.

Tegasnya lagi Sarawak United FC tiada kaitan dengan FAS.

“Kita tidak menyekat, semasa Posa Majais menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak FAS dahulu badan induk itulah menerima peruntukan yang paling besar. Kita tidak beri kepada Sarawak United FC kerana pasukan itu tidak ada hubungan dengan Kerajaan Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu Abdul Karim menyatakan rasa hormat terhadap pendatang baharu liga Malaysia, Kuching City FC yang dilihat mampu mengendalikan pengurusan dengan baik sekali.

“Kuching City beraksi dalam liga tertinggi Malaysia, saya pun tidak ada beri peruntukan dengan pasukan Kuching City, mereka pun tidak ada menghantar permohonan berhubung keperluan peruntukan tetapi mereka pandai mencari dana mereka sendiri, saya hormat mereka,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan