Search
Close this search box.
Sektor pembinaan merupakan antara yang bergantung kepada buruh asing untuk memastikan kelancaran projek. Foto Firdaus Ismail (TVS)

Parlimen: Pelbagai inisiatif atasi kebergantungan kepada pekerja asing

ByAhmad Burhanuddin

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Kerajaan secara berterusan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja selain mahu mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, antaran dilakukan termasuk menggalakkan industri supaya beralih kepada penggunaan automasi dan teknologi canggih yang dapat mewujudkan permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi.

Kata beliau, kerajaan juga menyediakan pelan latihan kemahiran kepada pekerja tempatan dengan keutamaan kepada mekanisma teknologi sistem binaan berindustri (IBS) dalam sektor pembinaan.

“Selain itu, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk warga tempatan terus diperkasakan bagi melahirkan pekerja berkemahiran tinggi selaras dengan hasrat negara untuk beralih daripada industri berintensif buruh kepada sektor berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan – Semporna) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan merangka satu dasar yang jelas bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja serta memastikan ketersediaan pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Sementara itu, Mustapha menambah, kementeriannya melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran telah membangunkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan berkaitan industri pembinaan dan perladangan dalam usaha menggalakkan anak muda menyertai sektor tersebut.

Bagi mengelakkan kebanjiran warga asing pula ujar beliau, kerajaan menetapkan penggajian pekerjaan asing bersifat sementara dengan syarat-syarat ketat seperti menetapkan sistem kuota bagi kelulusan penggajian berdasarkan sektor dan mengadakan sistem levi pekerja asing bagi kuota yang diluluskan.

“Kerajaan juga menghadkan sektor-sektor yang dibenarkan menggajikan pekerja asing, menetapkan negara sumber yang dibenarkan, penggajian bagi tempoh 10 tahun tambah tiga tahun, mengehadkan umur kemasukan pekerja asing adalah 18 hingga 45 tahun serta pematuhan ketat undang-undang perburuhan,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan