Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan pertukaran dokumen FSA antara Rudi de Winter dan Shariman Jamil di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, hari ini. Foto: Yusuf Shukri (TVS).

Kerajaan komited dalam menjayakan usaha pendigitalan Sarawak – Abang Johari

ByYusuf Shukri

KUCHING, 27 Mac: Kerajaan Sarawak komited dalam mempercepatkan dan menjayakan usaha pendigitalan di negeri ini melalui kerjasama pembuatan bahan semikonduktor dan mikrocip tempatan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini penting bukan sahaja untuk kemampanan ekonomi, malah boleh membekalkan bahan-bahan tersebut untuk keperluan industri di Sarawak. 

“Projek Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) adalah contoh terbaik mengapa operasi teknologi reka bentuk cip perlu dijalankan di negeri ini.

“Ini akan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan mikrocip dan semikonduktor daripada negara luar sepenuhnya untuk jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian Perjanjian Perkhidmatan Rangka Kerja (FSA) antara Sarawak Microelectronics Design Semiconductor Sdn Bhd (SMD), anak syarikat milik penuh Sarawak Research and Development Council (SRDC) dengan syarikat dari Jerman, X-FAB Global Services untuk menyediakan perkhidmatan reka bentuk cip di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Pengerusi of X-FAB Silicon Foundries, Tan Sri Datuk Amar Dr Hamid Bugo. 

Abang Johari berkata lagi, kerjasama seumpama ini dapat membantu membangunkan bakat baru, memberikan peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada rakyat dan juga perkongsian ilmiah antara rakan strategik bagi memupuk usaha penyelidikan dan pembangunan yang menyeluruh.

“Kolaborasi sebegini diharap akan dapat membuka hati golongan pakar semikonduktor yang kini bekerja di luar negara untuk kembali ke Sarawak dan membangunkan sektor tersebut di sini.

“Saya percaya, Sarawak tidak patut ketinggalan dalam pembangunan mikrocip yang saban hari terus berkembang, kita juga patut turut serta dalam bidang ini,” ujarnya.

Sebelum kerjasama bersama X-FAB, SMD Semiconductor Sdn Bhd yang merupakan syarikat milik kerajaan Sarawak juga telah menandatangi sebuah FSA bersama Melexis Belgium pada November 2022.

Sementara itu, perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil, Pengarahnya Dr Peter Morin Nissom, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan X-FAB Rudi de Winter dan Ketua Pegawai Teknologi kumpulan Joerg Doblaski.

Menerusi perjanjian itu, SMD akan memberikan reka bentuk cip kepada XFAB untuk membangunkan silicon IP terbaharu XFAB untuk pemindahan proses nod teknologi mereka.

“Aktiviti ini juga seiring dengan rancangan pembesaran X-FAB di kemudahan Samajaya di Kuching, Sarawak untuk meningkatkan pengeluaran faundri daripada 30,000 kepada 40,000 wafer sebulan menjelang 2025,” kata SMD dalam satu kenyataan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan